KOTA BHARU, 18 Jun (Bernama) -- Polis menahan lima individu dan menyelamatkan 32 ekor lembu yang dipercayai dicuri dalam satu operasi khas di Bachok awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Superintenden Saari Yaacob berkata operasi yang dijalankan antara 3 hingga 4 pagi oleh Cawangan D4, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Pasir Puteh itu membawa kepada penahanan lima suspek, iaitu empat lelaki dan seorang wanita tempatan.
Beliau berkata kesemua suspek ditahan di lokasi berasingan, iaitu sebuah rumah di Jalan Kandis, Kampung Telong, dan sebuah lagi rumah di Kuping Cherang Sepulai, Bachok.
“Hasil siasatan awal, polis telah pergi ke sebuah kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Gong Nyatoh, Telong, Bachok sebelum menemukan 32 ekor lembu yang diikat pada pokok kelapa sawit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saari berkata siasatan awal mendapati lembu berkenaan dipercayai milik penduduk kampung sekitar, yang sebelum ini dilaporkan hilang.
Beliau berkata polis sedang menjalankan proses pengesahan pemilikan dan mengesan pemilik haiwan ternakan terbabit, dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Sehubungan dengan itu, orang ramai yang kehilangan haiwan berkenaan diminta hadir ke Jabatan Veterinar Kubang Kerian bagi tujuan pengecaman.
"Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu juga diminta menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Pasir Puteh bagi membantu siasatan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial