AM

224,559 Masyarakat Orang Asli Terus Terima Manfaat Inisiatif Kerajaan - JAKOA

18/06/2026 07:30 PM

PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Sebanyak 224,559 masyarakat Orang Asli di seluruh Semenanjung Malaysia terus menerima manfaat pelbagai inisiatif yang dilaksanakan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

JAKOA dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu merangkumi dari peringkat awal usia hingga warga emas yang meliputi aspek kebajikan, pendidikan, kesihatan dan pembangunan komuniti.

Jabatan itu memaklumkan komitmen itu bukan sekadar menyampaikan bantuan tetapi membawa mesej masyarakat Orang Asli sentiasa menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan negara.

“Inisiatif ini termasuk bantuan susu formula khas bagi bayi pramatang dan bagi kanak-kanak, ia merangkumi bantuan pakaian seragam bagi murid kemasukan tahun satu dan tingkatan satu. 

“Turut diberikan insentif wang saku kepada pelajar sekolah menengah dan perkhidmatan pengangkutan murid,” menurut kenyataan itu.

Bantuan kategori belia pula meliputi pemberian wang sagu hati Anugerah Murid Cemerlang peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta bantuan sagu hati sekali beri (persediaan kemasukan) bagi peringkat sijil, matrikulasi, pradiploma, diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

Bagi kategori dewasa, inisiatif diberikan ialah Suntikan Usahawan Alaf Rezeki (SUAR), iaitu bantuan mesin serta peralatan operasi perniagaan dan pendigitalan. 

Inisiatif lain termasuk bantuan kepada petani, pengurusan jenazah, perubatan, kebajikan dan pelaksanaan projek jalan, air, elektrik, rumah serta pelbagai projek ameniti sosial seperti balai adat, dewan dan gelanggang futsal.

JAKOA memaklumkan selaras dengan visi dan misinya serta aspirasi Malaysia MADANI, usaha itu akan terus menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan kesejahteraan, kebajikan dan masa depan masyarakat Orang Asli terus terpelihara.

Selain itu, JAKOA berkata Geran Koperasi Orang Asli (G-KOP), Program Tunas Komuniti, Agro Tunas dan Agrotek turut disediakan bagi membantu usahawan, petani pemula, koperasi serta komuniti membangunkan aktiviti ekonomi mereka.

Dalam aspek kesihatan dan kebajikan, bantuan itu meliputi pengurusan jenazah serta pengangkutan pesakit, pengiring dan jenazah merangkumi laluan darat serta air. 

Turut disediakan ialah bantuan susu formula khas kepada pesakit terlantar, rawatan hemodialisis atau Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD), pembedahan, peralatan sokongan dan anggota palsu.

JAKOA memaklumkan turut disediakan ialah bayaran ujian makmal, ubat dan vaksin, bantuan kepada pesakit tibi, kusta dan penyakit berjangkit serta bayaran Pembantu Am Kebajikan Perubatan (PAKP).

Selain itu, JAKOA memaklumkan turut menyediakan bantuan sekali beri badan beruniform serta bantuan bakul makanan semasa bencana termasuk pandemik atau penularan wabak dan penyakit berjangkit.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan