PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan 1,638 syarikat lagi, yang disyaki terlibat dalam mengemukakan tuntutan palsu bagi mendapatkan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melibatkan anggaran kerugian RM45 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata ketika ini siasatan tertumpu kepada 143 syarikat yang dikenal pasti mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM9 juta, sebelum diperluas kepada baki syarikat yang dikesan melalui risikan dan siasatan.
"Tiada had masa ditetapkan bagi proses siasatan berkenaan. Kita tak perlu terburu-buru dan kita tidak mengejar waktu. Kita (SPRM) nak lengkapkan siasatan berdasarkan kepada kerjasama yang kita peroleh daripada PERKESO bukan saja ibu pejabat tetapi di negeri-negeri.
"Jadi maknanya apabila kita dapat kerjasama yang baik dan apabila telah dilengkapkan penyiasatan tersebut, kita akan mulakan pendakwaan," katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Beliau berkata Ops Daya yang dilancarkan pada 9 Jun lepas, merupakan operasi bersepadu antara SPRM dan PERKESO bagi menyiasat penyelewengan tuntutan insentif Program Daya Kerjaya 2.0.
Abdul Halim berkata sebanyak 63 kertas siasatan dibuka, dengan 97 individu terdiri daripada 86 pemilik syarikat dan 11 ejen ditahan setakat Selasa lepas bagi membantu siasatan.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 77 individu telah direman dan pihaknya merakam keterangan daripada 577 individu.
“Sebanyak 36 akaun bank syarikat bernilai RM463,076 dibeku dan harta alih seperti emas, wang tunai dan pelbagai barang berharga dianggarkan RM74,198 disita dalam operasi tersebut,” katanya.
Abdul Halim berkata modus operandi yang dikenal pasti adalah data individu disalah guna untuk tuntutan insentif, saguhati sekali beri diberikan kepada pekerja walaupun tuntutan penuh sudah dibuat serta maklumat orang kurang upaya (OKU) digunakan untuk bayaran kepada pihak lain.
Beliau berkata siasatan mendapati penyelewengan terbabit berlaku dalam tempoh 2024 hingga 2025 apabila beberapa syarikat dipercayai mengemukakan tuntutan palsu dengan mengisytiharkan pekerja yang tidak bekerja di syarikat mereka bagi tujuan mendapatkan insentif penggajian kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata setakat semalam, pihaknya berjaya mendapatkan semula RM1.26 juta daripada majikan yang mengaku melakukan penipuan pada permohonan Program Daya Kerjaya 2.0.
Pada 9 Jun lepas, SPRM menahan 73 individu, terdiri daripada 48 lelaki dan 25 wanita berusia lingkungan 20 hingga 70-an yang bertindak sebagai ejen serta pemilik syarikat di seluruh negara, kecuali Perlis, disyaki terbabit sindiket pemalsuan tuntutan insentif Program Daya Kerjaya 2.0 melibatkan nilai kira-kira RM9 juta.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara 2024 hingga 2025, dengan membuat tuntutan palsu melibatkan bantuan penggajian daripada kerajaan sebanyak RM1,500 setiap bulan selama enam bulan untuk setiap pekerja yang diambil bekerja oleh majikan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial