KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki maut selepas dipercayai lemas ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di sebuah menara tangki air di Bandar Saujana Perdana, dekat sini, semalam.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hamdan Hamzah berkata mangsa berusia 24 tahun itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas tangki kolam menara berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata JBPM Selangor menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 11.51 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya digerakkan ke lokasi bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan lima anggota.
"Jentera tiba di lokasi pada 12.17 tengah hari dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di tangki kolam menara berkenaan.
"Berdasarkan maklumat awal yang diterima daripada pemanggil, mangsa dipercayai tersedut sebelum lemas di dalam tangki air itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamdan berkata anggota bomba kemudian mengangkat serta menurunkan mangsa dari tangki berkenaan untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial