KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mencadangkan sistem perwakilan berkadar diperkenalkan bagi melahirkan generasi pemimpin muda yang lebih inklusif dan mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Beliau berkata pendekatan itu sebagai persediaan menghadapi perubahan demografi negara pada masa hadapan, sekali gus memastikan suara golongan minoriti terus mendapat representasi di Parlimen.
Katanya menjelang 2050, Bumiputera Melayu dijangka merangkumi 77 peratus daripada populasi negara, justeru timbul persoalan mengenai representasi golongan minoriti.
“Saya yakin perwakilan berkadar adalah terbaik untuk negara kita kerana menjelang 2050, Melayu Bumiputera ada 77 peratus, ke mana arah tuju golongan minoriti? Di mana mereka? Tak ada kawasan yang mereka akan jadi majoriti dan kebarangkalian untuk ada wakil dalam Parlimen semakin lama semakin mengecil.
“Agak-agak andalah, kalau suara mereka tidak didengari apa akan berlaku di luar? Ini kebimbangan saya,” katanya ketika berucap pada Ucaptama Simposium Harmoni di Bangunan Parlimen di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Keharmonian Kaum dan Agama (KRPPM-KKA) Syahredzan Johan.
Johari berkata perbincangan mengenai keharmonian perlu melihat cabaran negara untuk tempoh lima hingga 100 tahun akan datang.
Beliau berkata ia bukan sekadar memberi tumpuan kepada isu semasa memandangkan Malaysia mempunyai 77 kumpulan etnik dan cabaran terbesar negara ialah memastikan masyarakat majoriti dan minoriti memahami peranan masing-masing untuk hidup bersama sebagai sebuah negara.
“Jangan bercakap tentang hari ini atau semalam. Kalau boleh kita bercakap tentang esok. Mari kita fokus kepada masa hadapan. Semalam sudah menjadi sejarah…Hakikat kehidupan ialah bagaimana kita terus melangkah ke hadapan,” katanya.
Sementara itu, Syahredzan yang juga Ahli Parlimen Bangi berkata penganjuran simposium itu bertujuan membawa perbincangan mengenai keharmonian kaum dan agama ke pusat demokrasi negara serta menghasilkan syor dasar dan mekanisme praktikal untuk rujukan Parlimen dan kementerian.
Katanya, matlamat KRPPM ialah mewujudkan sebuah Malaysia yang inklusif melalui reformasi dasar dan undang-undang, selain membina jambatan kerjasama antara Parlimen, kerajaan, masyarakat sivil dan institusi pendidikan
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial