AM

Padam Sengketa, Bina Kesatuan Ummah - Zulkifli

17/06/2026 02:47 PM

PUTRAJAYA, 17 Jun (Bernama) -- Umat Islam di negara ini perlu memadamkan segala sengketa dan bara permusuhan yang masih bersisa dalam sanubari, demi membina kesatuan ummah yang utuh untuk mendepani cabaran global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata perubahan sosial yang lebih besar bagi sesebuah negara, hanya akan berlaku sekiranya terdapat transformasi dalaman manusia yang mencakupi dimensi akal, rohani dan akhlak.

“Kesatuan masyarakat yang kukuh akan melahirkan limpahan rahmat kepada semua anggotanya, manakala perpecahan hanya akan mengundang bencana kepada negara,” katanya dalam sembah ucapan sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1448/2026 di Masjid Putra, hari ini.

Majlis bertemakan “MADANI Dihayati Ummah Diberkati” itu, diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. Turut  hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Selain itu, Zulkifli berkata kesatuan hati seluruh anggota masyarakat amat penting ketika ini, memandangkan Malaysia tidak terkecuali daripada menerima impak krisis bekalan global yang sedang melanda dunia.

Sehubungan itu, beliau berkata rakyat Malaysia perlu terus memberi dukungan dan kerjasama dalam usaha kerajaan mengangkat martabat umat Islam, bagi memastikan syiar Islam terus mekar dan subur di bumi Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai konsep hijrah masa kini, Zulkifli berkata ia merupakan proses berterusan meninggalkan segala bentuk kemungkaran serta membina akhlak yang menyumbang kepada perpaduan dalam kalangan umat Islam.

“Hanya apabila aspek perpaduan umat ini telah berjaya dipertingkatkan, barulah agenda memartabatkan syiar Islam itu mampu digerakkan dengan lebih berkesan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata walaupun berbeza akidah dan pegangan, seluruh rakyat berkongsi komitmen serta tanggungjawab untuk memelihara keamanan, kestabilan dan kemakmuran tanah air.

Terdahulu, dalam majlis tersebut Sultan Nazrin berkenan mengurniakan anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan kepada Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa kepada pakar fiqah dari Maghribi Dr Ahmad Al-Raysuni.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan