DUNIA

Malaysia Sokong Aspirasi Turkiye Jadi Rakan Dialog ASEAN

18/06/2026 10:50 AM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Malaysia menyokong aspirasi Turkiye untuk menjadi Rakan Dialog ASEAN.

Dalam satu kenyataan, Kedutaan Malaysia di Ankara memaklumkan bahawa perkara itu disampaikan oleh Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Adlan Mohd Shaffieq ketika menyerahkan Surat Tauliah beliau secara rasmi kepada Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden pada 17 Jun.

Duta Besar itu menegaskan bahawa Turkiye muncul sebagai rakan yang semakin penting bagi Asia Tenggara menerusi penglibatan ekonominya yang semakin berkembang, pandangan strategik serta hubungan antara rakyat yang semakin kukuh dengan negara anggota ASEAN.

Beliau turut menyampaikan salam hormat serta ucapan selamat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Erdogan.

Duta Besar itu turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh persahabatan dan perkongsian strategik yang telah lama terjalin dengan Turkiye, yang terus berkembang melalui penglibatan peringkat tinggi secara berkala serta kerjasama yang semakin erat khususnya dalam bidang pendidikan, pertahanan dan industri halal.

"Malaysia dan Turkiye berkongsi hubungan istimewa yang dibina atas dasar kepercayaan, rasa hormat serta aspirasi bersama terhadap keamanan, kemakmuran dan pembangunan.

"Berdasarkan hubungan peribadi yang kukuh antara Presiden Erdogan dan Perdana Menteri Anwar, kita harus memanfaatkan visi bersama mereka untuk memperdalam kerjasama dalam semua sektor," katanya.

Erdogan, ketika mengalu-alukan Duta Besar itu turut menyatakan keyakinan bahawa hubungan perdagangan antara kedua-dua negara akan terus berkembang dan mencapai sasaran US$10 bilion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan