AM

SAR Jaslnda Antara Paling Mencabar, Buka Mata Pengorbanan 'Wira Merah'

17/06/2026 09:48 AM

Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar

IPOH, 17 Jun (Bernama) -- Kes kehilangan pendaki wanita Jaslinda Saludin,49, selama lebih dua minggu di Gunung Batu Putih di sini, membuka mata orang ramai tentang betapa pentingnya peranan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebagai antara pasukan utama dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) orang hilang.

Dalam kes itu, biarpun bukan pasukan JBPM yang menemukan mangsa, pengorbanan sekumpulan “wira merah” ini tidak harus dipandang sepi, sementelah mereka menggadai keselamatan diri, mengharungi suhu sejuk menggigit tulang ketika meredah rimba tebal, demi sebuah amanah bernama nyawa. 

Berkongsi pengalaman, Pegawai Bomba Kanan 1 Hassanuddin Tabaddang yang merupakan anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM, berkata sebaik menerima laporan kehilangan mangsa pada 24 Mei, mode SAR segera diaktifkan.

Beliau bersama-sama dengan tujuh anggota STORM digerakkan pada hari pertama untuk menyelamatkan seorang pendaki lelaki sebelum meneruskan operasi menjejaki Jaslinda dari puncak gunung ke Kem Sukaneka hingga Gunung Rayu.

Hassanuddin dan pasukannya berjaya mengesan tapak kaki mangsa pada hari itu, namun alam seakan menguji dengan hujan lebat dan sejuk melampau, memaksa mereka bermalam di Puncak Berapit 2.

"Dua rakan setugas mengalami kecederaan kaki ketika itu. Dalam keadaan semuanya basah, saya terpaksa mengaplikasikan kemahiran ikhtiar hidup mencari kayu api untuk memastikan bara sentiasa menyala. Hanya itu sumber haba kami untuk bertahan,” kata anak jati Semporna, Sabah yang berusia 33 tahun ini.

Bapa kepada dua cahaya mata ini juga menyifatkan operasi itu sebagai antara paling mencabar daripada lebih 10 SAR yang disertainya sepanjang berkhidmat dengan JBPM dan STORM setakat ini.

Berperanan sebagai Penyelia Pasukan Bravo di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Hassanuddin berkata beliau menyertai unit elit itu pada 2017 atas kehendak diri sendiri dan juga bagi menyahut cabaran dalam jabatan.

“Untuk menjadi ahli STORM, anggota perlu lulus cemerlang ujian kecergasan membabitkan larian sejauh tujuh kilometer bawah 40 minit serta menjalani kursus asas dan latihan ikhtiar hidup,” jelasnya.

SAR itu turut menyaksikan Pegawai Bomba KB1 Azani Ibrahim, 39, yang bertugas di BBP Kampar membatalkan majlis akikah anaknya di kampung halaman demi menunaikan tugas yang diamanahkan.

Anak jati Gua Musang, Kelantan yang juga berperanan selaku Malim Gunung JBPM itu merupakan individu pertama memasuki denai dan menjejak kesan tapak kaki serta laluan Jaslinda dari Gunung Batu Putih hingga Gunung Rayu.

Azani yang berpengalaman selama 10 tahun dalam perkhidmatan bomba, berkata keadaan muka bumi di kawasan pergunungan Perak selatan adalah antara paling ekstrem serta menguji ketahanan fizikal dan mental anggota penyelamat.

"Saya mencari (Jaslinda) dari Gunung Batu Putih sampai Gunung Rayu. Kita ikut jejak tapak kaki Jaslinda  bermula  5 petang sampai di Kem Sukaneka yang berjarak lebih kurang tiga kilometer. Sampai di Kem Sukaneka, kita satu pasukan berehat di situ sekejap, tetapi di situ cuaca sangat ekstrem, kelengkapan untuk tidur memang tiada.

"Terlampau sejuk, memang sejuk sangat dengan angin dan cuaca hujan pula masa itu. Kemudian kita terus jejak tapak Jaslinda sampai  Gunung Rayu dan saya dapati tapak dia berpatah balik," katanya, menambah pasukan itu terpaksa meneruskan perjalanan ke Bukit Berapit sebelum turun ke Pos Musoh dengan bekalan makanan tidak mencukupi.

Sementara itu, Azani menganggap persepsi masyarakat tugas bomba hanya memadam kebakaran sebagai satu lumrah, meskipun tanggungjawab agensi tersebut mencakupi skop menyelamat yang lebih luas.

"Kita tidak salahkan masyarakat sebabnya daripada dulu lagi memang bomba membabitkan kebakaran (memadamkan) sahaja, tetapi kita nak ubah fikiran masyarakat susah. 

"Tugas kita merangkumi semua, baik kebakaran, kemalangan, tragedi, khidmat khas termasuk (menangkap) ular, menyelamat, semua sekali," kata bapa kepada empat cahaya mata itu.

Beliau juga mendedahkan minatnya terhadap kebombaan tercetus selepas menyaksikan beberapa kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai yang kesemuanya melibatkan nyawa manusia.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak Sabarodzi Nor Ahmad pula berkata statistik dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini menunjukkan JBPM Perak lebih banyak terlibat dalam kerja-kerja menyelamat berbanding kes kebakaran.

"Penyelamatan yang kami jalankan bukan hanya SAR tetapi juga kes-kes lain seperti kemalangan jalan raya, namun SAR ini antara aspek penyelamatan yang memerlukan penglibatan JBPM secara khas,” jelasnya. 

 “Saya rasa masyarakat sedar dan faham tugas kami bukan setakat kebakaran,” tambah beliau lagi.

Anak watan Kampar yang telah berkhidmat selama 21 tahun dalam JBPM itu pada masa sama berkongsi bagaimana rasa tanggungjawab membuatkan beliau mengetepikan perancangan menyambut Aidiladha bagi memantau keselamatan anak buahnya yang masih di dalam hutan bagi mencari Jaslinda.

"Pada pagi raya (27 Jun), kita ada masalah komunikasi, menyebabkan kita tidak tahu apa yang berlaku pada pasukan di dalam hutan. Saya (batalkan rancangan sambut Aidiladha kerana) mahu pastikan mereka dapat keluar dari hutan dengan selamat dan pada masa sama nak hantar satu lagi pasukan untuk meneruskan usaha menjejaki mangsa,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan