AM

Hfazan Al-Quran Jadi Asas Kejayaan Graduan MARA Di Universiti Amerika Syarikat

17/06/2026 09:51 AM

Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Disiplin yang dibentuk menerusi hafazan al-Quran menjadi asas kukuh kepada kejayaan akademik dan profesional Muhammad Izzahan Isman, 22, yang baru menamatkan pengajian di Michigan State University (MSU), Amerika Syarikat.

Penerima biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu yang menamatkan Ijazah Sarjana Muda Sastera Ekonomi menerusi Program Pembangunan Bakat Muda (YTP) MARA berkata, kemahiran analitikal dan kognitif yang diasah melalui pendidikan tahfiz memainkan peranan penting sepanjang pengajiannya di luar negara.

“Hafazan al-Quran merupakan latihan minda yang sangat baik kerana ia memerlukan seseorang bukan sahaja menghafal, tetapi juga memahami isi kandungannya. Proses ini membantu otak menjadi lebih mudah menyesuaikan diri dengan pembelajaran dan mengukuhkan daya ingatan.

“Jika seseorang mampu cemerlang dalam hafazan al-Quran, prinsip yang sama iaitu menghafal dan memahami boleh diaplikasikan dalam bidang pengajian lain,” katanya kepada Bernama.

Bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Rawang itu menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.72 serta meraih beberapa pengiktirafan akademik sepanjang berada di Amerika Syarikat.

Selain kecemerlangan akademik, Izzahan turut memanfaatkan kemahiran analitikalnya dalam alam pekerjaan apabila berkhidmat secara sambilan sebagai pembantu pengurusan.

Beliau dikenal pasti sebagai individu yang mampu menangani cabaran operasi, termasuk isu pekerja pelajar berpengalaman yang sering meninggalkan organisasi selepas tamat pengajian, sekali gus memerlukan pihak pengurusan melatih semula kakitangan baharu secara berulang.

Bagi menangani isu itu, beliau membangunkan manual latihan komprehensif yang membantu memperkemas proses orientasi pekerja baharu, mengurangkan tempoh latihan serta meningkatkan kecekapan operasi.

Inisiatif tersebut membolehkan beliau menerima dua pengiktirafan universiti iaitu Spartan Difference Award dan Green Cranium Award.

Izzahan turut menerima Reben Akademik Kor Latihan Pegawai Simpanan (ROTC) selepas berjaya mengekalkan Purata Nilai Gred (GPA) melebihi 3.5.

Walaupun berjaya menyesuaikan diri dengan cepat di negara asing, beliau berkata usaha untuk kekal berpegang kepada nilai dan prinsip hidup memerlukan disiplin diri yang tinggi serta matlamat yang jelas.

“Ketika berada di Amerika Syarikat, saya sentiasa mengingatkan diri tentang matlamat jangka panjang dan masa depan yang ingin saya bina. Perkara itu membantu saya mengelakkan tindakan yang boleh memberi kesan negatif terhadap hubungan, kesihatan, tingkah laku dan nilai diri,” katanya.

Mengulas perancangan masa depannya, Izzahan berharap dapat menyumbang kepada sektor kewangan negara serta menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab kewangan serantau yang terkemuka.

“Selepas menamatkan pengajian ijazah sarjana muda, saya mahu terus memperkukuh kepakaran dan menyumbang ke arah memperkasakan industri kewangan Malaysia,” katanya.

Bekas pelajar tahfiz itu sebelum ini turut mendapat perhatian di media sosial kerana berjaya mengimbangi kecemerlangan akademik dengan pelbagai pencapaian berprestij sepanjang pengajiannya di Amerika Syarikat.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan