KANGAR, 17 Jun (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) Perlis menerima peruntukan lebih RM125 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021 hingga 2025 untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan usahawan.
Ketua Pengarah MARA Datuk Zulfikri Osman berkata peruntukan itu, dimanfaatkan lebih 58 peratus usahawan wanita melalui penyediaan kemudahan pembiayaan perniagaan, geran perniagaan serta program peningkatan kompetensi dan kapasiti, bagi memperkukuh pembangunan usahawan di negeri itu.
Beliau berkata hasil sokongan berterusan itu, usahawan MARA di Perlis merekodkan jumlah jualan terkumpul melebihi RM1 bilion dalam tempoh lima tahun.
“Pada tahun 2025, jumlah jualan yang berjaya dihasilkan oleh usahawan di bawah MARA dianggarkan bernilai RM215 juta. Secara tidak langsung, ia merupakan sumbangan besar kepada pendapatan kasar negeri Perlis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program Women In Search Of Excellence (WiSE) 2026 bertemakan Elevating Women, Empowering Communities di Dewan Bakawali, Mes Pegawai Kanan PDRM di sini malam tadi.
Perasmian itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Sementara itu, Zulfikri berkata kejayaan usahawan MARA turut diperkukuh menerusi inisiatif Gate to Global, yang membuka peluang kepada usahawan menembusi pasaran antarabangsa dengan terdapat usahawan di Perlis, berjaya mengembangkan perniagaan ke peringkat global yang mencatatkan jualan melebihi RM20 juta sebulan.
“Selain itu, program World Halal Products Exhibition (HAPEX) yang dilaksanakan di Hat Yai, Thailand dari 2023 hingga 2025, membantu usahawan membina rangkaian perniagaan baharu dengan merekodkan jualan terkumpul melebihi RM5 juta,” katanya.
Dalam pada itu, Zulfikri berkata program WiSE yang diperkenalkan Raja Muda Perlis pada 2023 itu, kini berkembang menjadi platform strategik dalam memperkasakan wanita melalui pembangunan keusahawanan, peningkatan kapasiti serta pembinaan jaringan perniagaan yang lebih luas.
Beliau berkata bagi penganjuran tahun ini, peserta turut mengikuti empat slot perkongsian ilmu yang dikendalikan panel berpengalaman dalam bidang keusahawanan, kepimpinan dan pembangunan perniagaan bagi memperkukuh daya saing usahawan wanita dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
“MARA akan terus komited memperkasakan ekosistem pembangunan usahawan menerusi pelbagai inisiatif pembiayaan, latihan, bimbingan dan pembangunan kapasiti, bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya tahan, berprestasi tinggi dan mampu berkembang ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial