Daripada Siti Radziah Hamzah
TASHKENT, 16 Jun (Bernama) -- Uzbekistan menyatakan minat untuk memperkukuh hubungan pelaburan dan perniagaan dengan Malaysia serta negara-negara ASEAN, khususnya dalam sektor industri bernilai tambah tinggi, pembuatan dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS).
Penasihat kepada Kementerian Ekonomi dan Kewangan Uzbekistan Jasur Karshibayev berkata negara Asia Tengah itu kekal terbuka kepada pelabur antarabangsa dan melihat potensi besar untuk memperluas kerjasama ekonomi dengan Malaysia, disokong oleh hubungan budaya yang kukuh serta penglibatan dua hala yang semakin meningkat.
“ASEAN merupakan rakan kerjasama penting bagi kami. Uzbekistan terbuka untuk perniagaan dari semua negara, termasuk Malaysia,” katanya kepada Bernama di luar persidangan Tashkent International Investment Forum (TIIF) 2026, di sini hari ini.
Awal bulan ini, Duta Uzbekistan ke Malaysia Karomidin Gadoyev, berkata jumlah pelaburan Malaysia di Uzbekistan telah melepasi US$3 bilion (US$1=RM4.06), sekali gus mencerminkan hubungan ekonomi dua hala yang semakin kukuh.
Beliau turut memaklumkan jumlah usaha sama Malaysia–Uzbekistan meningkat kepada 47, menunjukkan penglibatan perniagaan yang kian berkembang antara kedua-dua negara.
Karshibayev berkata Kuala Lumpur dan Tashkent berpotensi muncul sebagai rakan niaga strategik yang lebih kukuh apabila kedua-dua pihak meneroka peluang baharu dalam perdagangan dan pelaburan.
Beliau berkata Uzbekistan telah mengenal pasti saluran projek keutamaan, termasuk inisiatif penswastaan dan pelaburan merentas pelbagai sektor, dengan tumpuan kepada industri yang menjana aktiviti ekonomi bernilai tambah tinggi.
Menurutnya, walaupun kerajaan memainkan peranan penting dalam menyediakan rangka kerja dan sokongan dasar, kerjasama pelaburan yang mampan akhirnya bergantung kepada penyertaan aktif sektor swasta.
Menyentuh pembangunan sektor PKS, Karshibayev berkata ia kekal sebagai keutamaan kerajaan berikutan peranannya dalam penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi, selain menyatakan kesediaan Uzbekistan untuk mempelajari pengalaman Malaysia dalam memperkasa PKS dan meningkatkan penglibatan sektor swasta.
Sementara itu, beliau berkata Uzbekistan yakin mencapai sasaran pelaburan di bawah strategi Uzbekistan 2030, yang menyasarkan tarikan pelaburan bernilai US$250 bilion.
Beliau berkata kerajaan akan meneruskan pelaksanaan pembaharuan struktural bagi memperbaiki iklim pelaburan dan menarik lebih banyak modal swasta ke dalam ekonomi.
Sejak 2017, Uzbekistan telah melaksanakan pembaharuan menyeluruh untuk memodenkan ekonomi, mempertingkat persekitaran perniagaan dan menarik pelaburan mampan, termasuk liberalisasi rejim pertukaran asing, penggubalan undang-undang pelaburan moden, pembaharuan kehakiman serta peluasan perkhidmatan e-kerajaan.
Karshibayev berkata agenda pembaharuan itu telah menunjukkan hasil positif, termasuk tekanan inflasi yang semakin reda meskipun langkah liberalisasi harga dilaksanakan secara meluas, selain pertumbuhan ekonomi yang berterusan.
Beliau turut menyatakan Uzbekistan mengekalkan momentum ekonomi yang kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan global, mencerminkan keberkesanan dasar pembaharuan yang dilaksanakan.
Terdahulu, Karshibayev merupakan antara panelis dalam sesi bertajuk “Political Risk and Blended Finance: Mobilising Capital for Frontier Markets”.
Beliau berkata kerajaan Uzbekistan menyasarkan peningkatan saiz ekonomi negara kepada US$240 bilion menjelang 2030 bagi menyertai kumpulan negara berpendapatan sederhana tinggi.
Untuk mencapai sasaran itu, katanya, kerajaan akan terus melaksanakan pembaharuan ekonomi dan sosial di samping memperkukuh persekitaran perniagaan.
Selain itu, penarafan kredit kedaulatan Uzbekistan dilaporkan mencatat peningkatan konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang dijangka mengurangkan kos pengumpulan modal di pasaran antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Franklin Templeton bagi Asia Tengah Marius Dan berkata tawaran awam permulaan (IPO) Dana Pelaburan Nasional yang baru selesai melibatkan 13 perusahaan milik negara strategik dan berjaya dilaksanakan melalui penyenaraian dwi di London dan Tashkent.
Beliau berkata urus niaga itu menandakan tawaran ekuiti antarabangsa pertama Uzbekistan dan berjaya mengumpul hampir US$700 juta, dengan penyertaan pelabur institusi kewangan antarabangsa utama seperti BlackRock, Franklin Resources dan Redwheel.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial