AM

Bangunan Baharu SPRM Sabah Dijangka Siap Hujung Tahun Ini

16/06/2026 10:33 AM

KOTA KINABALU, 16 Jun (Bernama) -- Bangunan baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah di Jalan Sepanggar, di sini yang kini mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 90 peratus dijangka siap hujung tahun ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata bangunan itu akan menempatkan semua kakitangan SPRM yang kini berada di tiga pejabat berasingan.

"Kita perlu ada bangunan sendiri kerana ia merupakan satu platform yang solid bagi kita bertindak, melaksanakan tugas sebagai satu identiti benar-benar bebas dan berkecuali," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama dan TV3 selepas mengadakan lawatan ke Pejabat SPRM Sabah di Bangunan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini semalam. 

Hadir sama Pengarah SPRM Sabah Datuk Mohd Fuad Bee Basrah.

Katanya, dengan meletakkan kakitangan suruhanjaya itu di bawah satu bumbung akan meningkatkan komunikasi antara pegawai, kawalan dan urusan teknikal.

Sementara itu, Abd Halim menzahirkan penghargaan kepada media yang sentiasa memberikan liputan yang terbaik dalam setiap laporan melibatkan SPRM.

Beliau berkata kerjasama media itu selaras dengan usaha SPRM untuk membanteras gejala rasuah di negara ini.

Bagaimanapun Abd Halim pada masa sama mengingatkan media agar menjaga sensitiviti identiti pihak ketiga yang merupakan suspek dalam sesuatu kes.

"Elakkan daripada menyiarkan rupa paras suspek tersebut kerana mereka cuma suspek, belum lagi dituduh," katanya.

Beliau berkata pengamal media juga perlu bertanggungjawab terhadap ketepatan laporan dengan mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber sah.

Katanya, ia bagi mengelakkan timbul sebarang persepsi negatif dan mengelak daripada menyiarkan berita bersifat provokasi atau spekulatif.

"Pastikan kesahihan dan ketulenan berita itu, jangan jadikan ia sebagai suatu igauan bagi sesetengah pihak dan bahan tekaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan