AM

Malaysia Sambut Baik Kesepakatan AS-Iran Hentikan Konflik

15/06/2026 11:16 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik kesepakatan yang dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk menamatkan konflik antara kedua-dua negara, serta pengumuman bahawa satu memorandum persefahaman akan dimeterai dalam masa terdekat.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut memuji usaha pengantaraan yang menyumbang kepada perkembangan positif itu, khususnya yang dilakukan oleh Pakistan.

Anwar berkata pembukaan semula Selat Hormuz kepada aktiviti perkapalan antarabangsa ketika ini harus diberi keutamaan segera, dan menyifatkan ia sebagai urat nadi penting kepada keterjaminan bekalan tenaga global serta perdagangan.

"Konflik yang berpanjangan tidak akan memanfaatkan mana-mana pihak," katanya sambil menggesa semua pihak agar bertindak dengan penuh keikhlasan, mempercepat tindakan dan menterjemah kesepakatan yang dicapai kepada penyelesaian damai yang berkekalan.

“Dalam situasi yang amat sensitif ini, semua pihak termasuk dari luar perlu mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses diplomasi atau mencetuskan semula konflik,” katanya.

Perdana Menteri turut menyeru komuniti antarabangsa agar terus mengekalkan momentum ke arah keamanan, dan menegaskan bahawa Malaysia bersedia menyokong segala usaha yang menjurus kepada penyelesaian yang adil serta berkekalan.

Pada Ahad lepas, Presiden AS Donald Trump mengumumkan bahawa satu perjanjian dengan Iran telah dimuktamad dan beliau mengarahkan pembukaan semula Selat Hormuz serta menarik balik sekatan oleh tentera laut AS.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan