JENAYAH & MAHKAMAH

SAR Dua Nelayan Di Perairan Kemaman Liputi 117.30 Batu Nautika

15/06/2026 09:10 PM

CHUKAI, 15 Jun (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat dua nelayan yang hilang selepas bot  dinaiki mereka karam di perairan Kemaman sejak Rabu lepas diteruskan hari ini dengan kawasan pencarian meliputi 117.30 batu nautika persegi.

Pengarah Maritim Zon Kemaman Abdul Halim Hamzah berkata operasi pencarian yang memasuki hari kelima itu melibatkan 34 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis marin serta nelayan.

Beliau berkata operasi pencarian melibatkan penggunaan sebuah kapal APMM iaitu KM Redang bersama 19 anggota, sebuah bot Polis Marin PLC 3 dengan kekuatan lapan anggota serta sebuah bot nelayan tempatan disertai tujuh nelayan.

"Setakat 6 petang tadi, pasukan pencarian masih belum menemukan sebarang petunjuk baharu berkaitan kedua-dua mangsa iaitu tekong, Azan Muda, 68, dan Nordin Mohammad, 61," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat yang ditangguhkan hari ini akan disambung semula pagi esok.

Pada Rabu, bot nelayan dinaiki Azan dan Nordin tenggelam akibat ribut pada 12.30 tengah malam., namun seorang lagi nelayan Mahadi Jusoh, 51, berjaya diselamatkan nelayan lain pada 10.30 pagi, keesokannya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan