AM

MKJR Gerak Projek Rintis Zon Sekolah Selamat

15/06/2026 06:05 PM

SEPANG, 15 Jun (Bernama) -- Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) sedang menggerakkan projek rintis Zon Sekolah Selamat di 14 sekolah seluruh negara yang akan memberi manfaat kepada hampir 20,000 murid dan warga sekolah.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata langkah itu diambil susulan beberapa insiden kebelakangan ini yang melibatkan kematian murid serta statistik menunjukkan purata hampir 70 kemalangan berlaku di kawasan sekolah setiap tahun.

"Hal ini menunjukkan bahawa aspek pengurusan kelajuan dan infrastruktur jalan di kebanyakan sekolah masih belum mencapai tahap yang memuaskan," katanya ketika berucap sebelum mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan MKJR Ke-62 di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, Loke berkata intervensi yang akan dilakukan oleh MKJR melalui projek rintis Zon Sekolah Selamat termasuk memfokuskan kepada pengurangan had laju di kawasan sekolah melalui penambahbaikan infrastruktur meliputi lintasan pejalan kaki berisyarat, penyempitan jalan, pembinaan laluan pejalan kaki serta pembangunan pulau pelindung ataupun median. 

"Kita mempunyai tanggungjawab untuk melindungi generasi muda dan memberi ketenangan minda kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka selamat dalam perjalanan pergi dan balik dari sekolah.

"Saya amat berharap usaha ini akan terus diperkukuh dan diperluas lagi dengan sokongan daripada pihak kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat," katanya.

Beliau berkata projek Zon Sekolah Selamat juga akan diperluas ke lebih banyak sekolah yang mempunyai risiko kemalangan tinggi dan usaha berkenaan memerlukan kerjasama daripada semua pihak khususnya Kementerian Pendidikan serta Jabatan Pendidikan Negeri setiap untuk mengenal pasti sekolah mempunyai risiko tinggi. 

"Ada sekolah yang berada di tepi jalan atau di depan jalan persekutuan umpamanya. Sekolah inilah yang risikonya amat tinggi kerana banyak kenderaan berat melalui kawasan itu dan sekolah inilah yang akan menjadi sasaran kita untuk diadakan satu Zon Sekolah Selamat dan intervensi-intervensi ini dapat kita laksanakan," katanya.

Loke turut menyeru syarikat korporat dan swasta untuk bersama-sama menjayakan projek Zon Sekolah Selamat bagi memastikan lebih banyak sekolah mendapat manfaat.

"Umpamanya ada syarikat yang boleh menjadikan sekolah angkat lima sekolah, 10 sekolah setiap tahun. Kalau perkara ini boleh berjalan, projek ini boleh diperluas, maka lebih banyak sekolah akan berlindung di bawah inisiatif ini," katanya sambil menambah kira-kira RM300,000 diperlukan untuk satu sekolah bagi melaksanakan projek itu.

Sementara itu, Loke berkata MKJR akan menerajui pembangunan indeks keselamatan jalan raya di lokasi yang dikenal pasti. 

Beliau berkata indeks itu akan mengukur tahap pematuhan undang-undang dan perubahan tingkah laku pengguna jalan raya di lokasi berisiko tinggi secara berkala. 

"Dalam usaha kita memperkukuh intervensi keselamatan jalan raya, keupayaan untuk membuat keputusan berasaskan data juga perlu dipertingkatkan. 

"Selama ini ukuran pencapaian tertumpu kepada angka kematian, sedangkan angka tersebut hanyalah petunjuk akhir. Kita memerlukan satu pendekatan yang lebih dinamik melalui pembangunan petunjuk utama untuk mengenal pasti tahap risiko, kerentanan sistem serta keberkesanan intervensi secara berterusan," katanya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan