MELAKA, 13 Jun (Bernama) -- Kira-kira 1,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai Program Outreach Bersasar Projek Lepas SPM peringkat Parlimen Hang Tuah Jaya bagi memperluas akses maklumat pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peluang melanjutkan pengajian.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim berkata bidang TVET kini menjadi laluan pilihan utama yang setanding dengan akademik, selain penganjuran program itu bagi memastikan tiada pelajar tercicir akibat kekangan maklumat atau akses pendidikan.
"Inisiatif ini diadakan dalam menterjemahkan aspirasi pendidikan berteraskan agenda Malaysia MADANI, selain memperkukuh penyampaian maklumat pendidikan tinggi secara lebih dekat kepada pelajar pada peringkat akar umbi.
"Pendidikan tinggi juga bukan sekadar laluan untuk memperoleh sijil atau persediaan alam pekerjaan semata-mata, sebaliknya merupakan ruang penting dalam membina insan berilmu, berfikiran kritis serta mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab dalam masyarakat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata program berkenaan turut menampilkan pendekatan interaktif yang lebih dekat dengan Generasi Z, termasuk 20 reruai pameran agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.
Katanya, peserta turut berpeluang menyertai pengisian bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) seperti Robotic Dog, VR Edutainment dan DIY lilin kreatif, perkhidmatan komuniti seperti gunting rambut percuma oleh Kolej Komuniti selain penampilan ikon UPUOnline “Bang Jieb” serta Edufluencer Cikgu Zeti turut memeriahkan program.
"Program ini dijayakan melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Kolej Komuniti Kota Melaka serta pihak pengurusan Sekolah Menengah Teknik Melaka sebagai tuan rumah.
"Program Outreach Bersasar Projek Lepas SPM ini akan diperluas ke sekolah lain di sekitar Parlimen Hang Tuah Jaya pada masa akan datang bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat manfaat," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan kini melaksanakan agenda pendidikan percuma secara bersasar menerusi inisiatif Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, yang menukarkan pinjaman pendidikan kepada biasiswa bagi 10,000 pelajar yang layak di seluruh negara.
Beliau berkata inisiatif itu merupakan langkah keadilan sosial bagi mengurangkan beban kewangan pelajar serta merapatkan jurang sosioekonomi rakyat.
“Di Parlimen Hang Tuah Jaya sendiri, terdapat empat pelajar yang akan menerima manfaat ini. Insya-Allah, saya akan turun bertemu dengan mereka bagi menyampaikan sendiri khabar gembira tersebut,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial