AM

Sembilan Sekolah Menengah Teknik Kini Di Bawah BPSBP KPM, Dijenamakan Sebagai SBP Teknikal

12/06/2026 10:45 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Semua sembilan Sekolah Menengah Teknik (SMT) di seluruh negara kini secara rasmi diserahkan kepada Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP), Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata langkah berkenaan bukan sekadar satu perpindahan operasi biasa, sebaliknya satu langkah strategik yang dirancang dengan teliti bagi memartabatkan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata menerusi penstrukturan baharu itu, SMT kini dikenali sebagai Sekolah Berasrama Penuh Teknikal (SBP-T) yang memberi fokus kepada kecemerlangan akademik dan teknikal berprestasi tinggi.

"Ini (inisiatif) sekali gus meletakkan status SBP-T setaraf dengan sekolah-sekolah berasrama penuh (SBP) yang lain," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fadhlina turut menegaskan peranan SBP-T akan terus diperkasakan bagi memastikan institusi tersebut mampu melahirkan modal insan yang cemerlang dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang dapat memenuhi keperluan tenaga kerja mahir negara pada masa hadapan.

Pengurusan SMT sebelum ini adalah di bawah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV).

Penstrukturan berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada usaha mempertingkat kualiti pendidikan teknikal, memperkukuh pembangunan bakat serta melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri dan pembangunan negara pada masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan