AM

Belia Labuan Harus Guna Kelebihan Yang Ada Untuk Ke Tahap Lebih Tinggi - Mordi

13/06/2026 02:58 PM

LABUAN, 13 Jun (Bernama) -- Golongan belia di Labuan harus menggunakan kekuatan dan kelebihan yang ada di pulau berkenaan sebagai pemangkin untuk ke tahap lebih tinggi, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Anak Bimol.

Beliau berkata dengan usaha dan keazaman yang berterusan, belia, khususnya yang berasal dari Labuan mampu menjadi pemimpin masa depan yang cemerlang, berdaya saing dan dihormati bukan sahaja pada tahap domestik, tetapi juga pada peringkat antarabangsa.

"Labuan mempunyai potensi untuk menghasilkan belia berkualiti yang mampu menjadi pemimpin masa depan … potensi ini dapat diperkukuh melalui penyertaan berterusan dalam program pembangunan kemahiran, keusahawanan, kepimpinan dan pembangunan diri yang disediakan oleh kerajaan dan agensi berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan sambutan Hari Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2026 dan menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara peringkat Labuan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata sambutan Hari Belia Negara pada setiap 15 Mei, mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan belia kepada pembinaan negara, pemerkasaan komuniti dan pembangunan masa depan Malaysia.

Mordi berkata tema tahun ini, iaitu "Menggerak Belia MADANI", meletakkan belia sebagai pemacu perubahan dan bukannya penerima pembangunan yang pasif.

"Tema ini menyeru belia untuk beralih daripada potensi kepada tindakan, daripada aspirasi kepada pelaksanaan, dan bersedia untuk memimpin perubahan dalam dunia yang semakin kompleks termasuk isu berkaitan kos sara hidup, peluang pekerjaan, kesihatan mental dan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan," katanya.

Beliau berkata belia hari ini memainkan peranan penting dalam ekonomi digital, keusahawanan, kepimpinan komuniti, inovasi sosial, kelestarian alam sekitar dan teknologi.

Kerajaan, katanya, kekal komited terhadap pembangunan belia secara holistik melalui pelbagai inisiatif, insentif dan peruntukan di bawah Belanjawan 2026 meliputi latihan, keusahawanan, perlindungan sosial, pendidikan, sukan dan program Rakan Muda.

Mordi berkata platform antarabangsa termasuk program pertukaran belia, persidangan global dan pertandingan inovasi kini lebih mudah diakses dan menyediakan peluang kepada belia Malaysia untuk menimba ilmu, membina rangkaian dan meningkatkan profil negara di mata dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan