KOTA BHARU, 11 Jun (Bernama) – Penyakit kusta masih wujud di Kelantan dengan lapan kes baharu direkodkan pada tahun lepas, kata Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Mohd Azman Yacob.
Beliau berkata jumlah itu melibatkan kadar insiden 0.37 kes bagi setiap 100,000 penduduk manakala di peringkat nasional sebanyak 381 kes baharu dilaporkan pada 2025 dengan kadar insiden 11.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk.
Beliau berkata sebanyak 516 pesakit kusta masih menerima rawatan di Malaysia pada tahun lepas dengan kadar prevalens 0.15 bagi setiap 10,000 penduduk, manakala kadar prevalens di Kelantan ialah 0.06 bagi setiap 10,000 penduduk, lebih rendah daripada sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menetapkan kadar prevalens kurang daripada satu kes bagi setiap 10,000 penduduk.
“Kusta atau Hansen’s Disease ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Mycobacterium leprae dan boleh merebak melalui titisan udara daripada pesakit yang belum menerima rawatan ketika batuk, bersin atau bercakap.
“Namun, penyakit ini boleh disembuhkan sepenuhnya jika pesakit mendapatkan rawatan secara konsisten,” katanya dalam kenyataan bersempena dengan Sambutan Hari Kusta Sedunia Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 dan Temu Seru Literasi Kesihatan Peringkat Daerah Tumpat hari ini.
Beliau berkata antara gejala lazim penyakit itu ialah tompok atau ruam berwarna kemerahan atau putih pada kulit yang tidak gatal serta disertai kehilangan deria rasa pada bahagian terjejas, selain boleh menyebabkan kerosakan saraf, kelemahan otot dan kelumpuhan saraf muka jika tidak dirawat.
Dr Mohd Azman berkata ahli keluarga dan kontak rapat pesakit merupakan golongan berisiko tinggi dijangkiti penyakit itu, justeru, pengesanan awal, pemeriksaan kontak dan rawatan segera amat penting bagi mencegah penularan dalam komuniti.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) turut melaksanakan pemberian Single Dose Rifampicin (SDR) kepada kontak rapat yang layak bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Sementara itu, beliau berkata tema Hari Kusta Sedunia tahun ini, “Leprosy Is Curable, The Real Challenge Is Stigma” atau “Kusta Boleh Disembuhkan, Cabaran Sebenar Adalah Menangani Stigma”, bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa pesakit kusta tidak wajar disisihkan kerana penyakit itu bukan berpunca daripada santau, keturunan atau balasan atas perbuatan tertentu.
Pada majlis sama, Program Temu Seru Literasi Kesihatan Peringkat Daerah Tumpat turut diadakan bagi meningkatkan keupayaan masyarakat mendapatkan, memahami dan menggunakan maklumat kesihatan untuk membuat keputusan yang tepat berkaitan kesihatan diri, keluarga dan komuniti.
Pelbagai aktiviti disediakan termasuk forum kesihatan, pemeriksaan kesihatan dan pergigian, derma darah, jualan Rahmah serta kuiz literasi kesihatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial