JENAYAH & MAHKAMAH

JAS Siasat Insiden Pelepasan Asap Oren Di Pasir Gudang

12/06/2026 12:05 AM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertindak pantas menjalankan siasatan, susulan laporan tular di media sosial mengenai pelepasan asap berwarna oren yang dipercayai berlaku di kawasan Jalan Keluli, Pasir Gudang, pagi ini.

Sejurus menerima maklumat sekitar jam 9.45 pagi, pasukan penguat kuasa dan penyiasat JAS Cawangan Pasir Gudang, telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan, siasatan serta penilaian awal terhadap kejadian tersebut.

Menurut kenyataan JAS hari ini, hasil rondaan yang telah dijalankan di sekitar Jalan Keluli mendapati, tiada lagi pelepasan asap berwarna oren daripada mana-mana premis di kawasan berkenaan.

“Walau bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang diperoleh di lapangan, pelepasan tersebut dipercayai berlaku dari sebuah premis industri di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang.

“Pasukan penyiasat JAS tiba di premis yang dikenal pasti sekitar jam 11.10 pagi dan mendapati pelepasan asap berwarna oren telah berhenti. Namun begitu, terdapat bau yang ketara di kawasan premis semasa pemeriksaan dijalankan,” menurut kenyataan itu.

Susulan insiden itu, JAS telah mengambil beberapa tindakan segera termasuk menjalankan pemantauan dan siasatan lapangan di kawasan yang diadu, serta berkoordinasi dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) bagi tindakan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing.

Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa pihak JAS telah memohon penilaian keselamatan daripada pihak JBPM, sebelum pemeriksaan terperinci dijalankan di dalam kawasan premis, selain melaksanakan pemantauan kualiti udara di kawasan sensitif yang berpotensi terkesan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, JAS Negeri Johor turut menjalankan pemantauan kualiti udara di dua lokasi sensitif yang dikenal pasti, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 3.

“Melalui pemantauan yang dijalankan, bacaan kualiti udara di kedua-dua lokasi tersebut berada pada paras normal dan tidak menunjukkan sebarang bacaan yang melebihi had yang ditetapkan.

“JAS ingin menegaskan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan menentukan sama ada berlaku sebarang pelepasan pencemar yang melanggar peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127],” menurut kenyataan itu.

JAS menegaskan sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan, tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Pihak jabatan akan terus memantau keadaan di kawasan terlibat serta bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan awam dan kualiti alam sekitar sentiasa terpelihara.

Orang ramai dalam pada itu dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi berhubung kejadian ini dan sentiasa merujuk kepada maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan