DUNIA

47 Maut, Lebih 346,000 Terjejas Selepas Gempa Kuat Di Selatan Filipina

11/06/2026 06:09 PM

MANILA, 11 Jun (Bernama-Xinhua) -- Sekurang-kurangnya 47 orang terbunuh, 31 hilang dan 688 cedera selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda pantai selatan Mindanao, Filipina, pada Isnin, menurut Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) pada Khamis, lapor Xinhua.

Menurut NDRRMC, gempa bumi itu menjejaskan lebih 75,300 isi rumah atau lebih 346,000 orang dan lebih 45,000 penduduk terjejas kehilangan tempat tinggal dengan lebih 12,600 rumah mengalami kerosakan.

Gempa bumi itu turut mencetuskan 45 kejadian berkaitan terutamanya tanah runtuh.

Badan itu menambah gempa bumi menjejaskan operasi 45 bahagian jalan, lapan bahagian jambatan, satu lapangan terbang dan dua pelabuhan laut serta industri pertanian, penternakan dan perikanan.

Perkhidmatan tenaga terjejas di 48 bandar dan majlis perbandaran.

Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina memaklumkan gempa bumi tektonik itu berlaku pada 7:37 pagi waktu tempatan pada kedalaman 33 kilometer (km) dengan pusat gempa 32 km barat daya pantai bandar Maasim di wilayah Sarangani di Pulau Mindanao.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan