AM

Gempa Bumi Di Filipina: MERCY Malaysia Gerak Bantuan Kemanusiaan

09/06/2026 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jun  (Bernama) -- MERCY Malaysia telah menggerakkan bantuan kemanusiaannya susulan gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda kawasan luar pesisir berhampiran Sarangani, Mindanao, Filipina, ketika kebimbangan terhadap kebajikan penduduk yang terjejas serta tahap kerosakan yang dialami kian meningkat.

Dalam satu kenyataan hari ini, pertubuhan kemanusiaan itu memaklumkan pihak berkuasa dan agensi bantuan kini sedang menilai kesan penuh bencana tersebut, dengan keutamaan segera dijangka tertumpu kepada akses perkhidmatan kesihatan, tempat perlindungan kecemasan, bekalan air bersih serta bantuan keperluan asas.

Menurut MERCY Malaysia, Pejabat Negara Filipinanya telah berada di lokasi bagi membantu usaha penyelarasan awal bersama pihak berkuasa tempatan dan rakan organisasi kemanusiaan lain, manakala satu pasukan dari Kuala Lumpur sedang dipersiapkan untuk digerakkan dalam tempoh 24 jam ini bagi melakukan penilaian segera serta mengenal pasti keperluan kemanusiaan yang mendesak.

Sebagai Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) Jenis 1 yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), MERCY Malaysia bersedia untuk menyediakan bantuan perubatan kecemasan yang merupakan sebahagian daripada usaha respons yang diselaraskan.

Pertubuhan itu juga berkerjasama rapat dengan rakan serantau termasuk Rangkaian Pengurangan dan Respons Bencana Asia (ADRRN), bagi memudahkan perkongsian maklumat serta penyelarasan bantuan.

Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata gempa bumi tersebut merupakan risiko berterusan yang dihadapi penduduk di Filipina.

“Filipina terletak di sepanjang sempadan plat tektonik yang aktif, menjadikannya sangat terdedah kepada gempa bumi dan bencana alam lain. Keadaan ini menyebabkan penduduknya sering berdepan situasi kecemasan yang menjejaskan kehidupan harian, merosakkan infrastruktur dan memberi tekanan kepada perkhidmatan asas.

“Ketika ini tumpuan kita kepada mereka yang terjejas. Bantuan kemanusiaan perlu diselaraskan dengan pantas, tersusun dan berpandukan keperluan sebenar mangsa di lapangan. MERCY Malaysia juga bersedia untuk membantu pihak berkuasa tempatan dan rakan-rakan strategik dalam menyalurkan bantuan ke kawasan yang paling memerlukan,” katanya.

Menurut MERCY Malaysia, Filipina kerap mengalami bencana alam, termasuk gempa bumi, taufan, banjir dan aktiviti gunung berapi, yang sering memberi kesan meluas terhadap perkhidmatan kesihatan, perumahan dan sumber mata pencarian penduduk.

Justeru, pertubuhan itu merayu sokongan orang ramai untuk membantu menyalurkan bantuan perubatan kecemasan, barangan keperluan asas serta bentuk bantuan segera lain kepada komuniti yang terjejas akibat gempa bumi tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan