JENAYAH & MAHKAMAH

19 Penghuni Hilang Tempat Tinggal Dalam Kebakaran Di Sibu

07/06/2026 10:17 PM

SIBU, 7 Jun (Bernama) -- Sebanyak19 penghuni daripada tiga keluarga kini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah dua tingkat berstruktur tidak kekal yang mereka diami di Kampung Jeriah Abang Ramli, Jalan Oya di sini musnah dalam kebakaran hari ini.

Ketua Zon 4 Sibu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Penguasa Kanan Bomba I Andy Alie berkata semua mangsa berusia antara empat hingga 65 tahun yang terdiri daripada 10 lelaki dan sembilan perempuan berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, kebakaran dipercayai bermula di bahagian belakang dapur rumah berkenaan, namun punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

"Pasukan forensik bomba akan menjalankan pemeriksaan serta siasatan lanjut di lokasi kejadian esok," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dua Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya dan BBP Sungai Merah dengan kekuatan 14 anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 11.30 pagi.

Beliau berkata operasi pemadaman berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke premis berhampiran sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 2 petang.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Datuk Dr Annuar Rapaee turut menziarahi mangsa petang tadi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan