POLITIK

PRN Johor: Keputusan Tanding Solo Direstui Presiden BN - Onn Hafiz

07/06/2026 08:13 PM

ISKANDAR PUTERI, 7 Jun (Bernama) -- Keputusan Barisan Nasional (BN) bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mendapat restu Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata keputusan itu juga dibuat hasil maklum balas dan pandangan parti komponen serta kesemua 26 bahagian UMNO menerusi pertemuan pada 16 Mei.

“Semua bahagian termasuk parti komponen mengatakan Johor perlu bertanding solo di semua kerusi.

“Apabila saya berikan maklum balas kepada presiden, beliau beri kebenaran kita bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)... itu realiti,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor di Kompleks Sukan EduCity, di sini hari ini. 

Onn Hafiz berkata pembubaran DUN Johor pada 1 Jun, dengan tempoh hampir setahun sebelum tamat tempoh pentadbiran pada April tahun depan dibuat atas pelbagai faktor.

Antara perkara yang diambil kira ialah musim tengkujuh yang dijangka berlaku antara November ini hingga Januari tahun depan selain musim perayaan serta ketidakstabilan geopolitik di Asia Barat.

Sehubungan dengan itu, Onn Hafiz berkata Johor memerlukan kerajaan yang terus kukuh dan stabil untuk memastikan negeri terus bergerak maju.

Terdahulu, Jentera BN Johor bagi PRN dilancarkan oleh  Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Majlis dihadiri Presiden MIC Tan Sri Dr SA Vigneswaran, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden Parti Progresif Penduduk Datuk Dr J Loga Bala Mohan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan