ISKANDAR PUTERI, 7 Jun (Bernama) -- Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bukan sekadar medan menentukan kerajaan negeri, malah bakal menjadi titik permulaan kebangkitan semula Barisan Nasional (BN) pada peringkat nasional.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata PRN itu akan menjadi pentas penting untuk menghantar isyarat jelas bahawa gelombang biru BN kembali mendapat sokongan rakyat, bukan sahaja di Johor, malah di seluruh negara.
“Di Johor ini, kita mahu membuktikan bahawa BN masih kukuh, insya-Allah. Di Johor ini, kita mahu membuktikan bahawa BN akan terus menjadi sandaran kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Di sinilah kita mahu membuktikan bahawa Bangsa Johor bijak menilai antara kestabilan dan kekacauan, antara kerja dan kata-kata, antara perjuangan dan kepentingan sempit parti jalanan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor bagi PRN di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan EduCity, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden MIC Tan Sri Dr SA Vigneswaran dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Dr J Loga Bala Mohan.
Ahmad Zahid berkata BN bertekad untuk mengembalikan status Johor sebagai kubu kuat mutlak atau 'fixed deposit' parti itu dalam PRN akan datang.
Presiden UMNO itu berkata matlamat utama jentera ketika ini adalah untuk memastikan kemenangan dominan, sekali gus membuktikan bumi kelahiran UMNO kekal menjadi tiang seri kestabilan politik negara.
“Jangan biarkan orang menakut-nakutkan rakyat Johor kononnya BN hanya untuk satu kaum. Kita jawab dengan jelas, Bangsa Johor kukuh kerana BN.
“Kita jadikan semula Johor sebagai fixed deposit kepada BN di negara ini. Kita jadikan BN selepas pilihan raya ini sebagai tiang seri kestabilan,” katanya.
Beliau berkata mandat besar daripada rakyat Johor amat penting bagi membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan berupaya menepis segala bentuk politik eksperimen serta agenda dendam yang dibawa oleh pihak lawan.
"Kita mahu menanamkan suatu prinsip bahawa kita kuat bukan kerana kawan (parti lawan) lemah, tetapi kita kuat kerana kita bekerja demi rakyat dan seluruh Bangsa Johor,” katanya.
BN akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN Johor pada PRN kali ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial