AM

Sultan Pahang Berkenan Sempurnakan Perasmian Gimnasium Mahkota

05/06/2026 07:54 PM

KUANTAN, 5 Jun (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyempurnakan perasmian Gimnasium Mahkota di Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota di sini, sekali gus mencerminkan keprihatinan baginda terhadap kecergasan anggota pasukan penyelamat.

Keberangkatan baginda kira-kira 3 petang itu, disambut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad, Pengarah JBPM Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim dan Pengarah Urusan Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL) Datuk Radha Krishnan.

Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan mendengar sembah taklimat yang disampaikan Mohd Razam berhubung pembangunan dan pengoperasian gimnasium berkenaan, yang dilengkapi peralatan senaman kurniaan baginda. 

Baginda ketika ditemui pemberita bertitah kurniaan peralatan senaman itu, bertujuan menyediakan kemudahan latihan yang lebih lengkap kepada anggota bomba sebagai barisan hadapan negara, supaya mereka sentiasa berada pada tahap kecergasan terbaik dalam melaksanakan tugas.

“Ini merupakan kemudahan kepada mereka untuk buat latihan secara lebih rapi dan intensif, supaya sentiasa dalam keadaan cergas melaksanakan tanggungjawab dalam membantu pihak yang memerlukan pertolongan,” titah baginda. 

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan penting pasukan bomba, yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada rakyat tanpa mengira masa dan pelbagai insiden kecemasan.

“Pasukan bomba ini, memang saya tidak boleh nafikan barisan hadapan yang amat penting bagi negeri Pahang, kerana segala masalah dihadapi rakyat, mereka antara agensi sampai di tempat kejadian dan menghulurkan bantuan, sama ada melibatkan kebakaran, kemalangan, malah gangguan haiwan seperti ular.

“Hasrat saya adalah untuk melihat anggota agensi keselamatan berada dalam keadaan cukup sihat dan cergas,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Pahang turut menyeru seluruh masyarakat agar terus mengamalkan gaya hidup sihat dengan aktif bersukan dan beriadah, bagi mengekalkan tahap kecergasan serta kesihatan yang baik.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan mengadakan lawatan ringkas melihat fasiliti gimnasium dan beramah mesra dengan “abang sado” pasukan bomba.

Gimnasium Mahkota yang beroperasi 9 pagi sehingga 10 malam setiap hari itu, dilengkapi 15 peralatan senaman antaranya treadmill, spinning bike, leg press, smith machine, battle rope dan dumbbell. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan