AM

Perlis Rangka Portal Perdagangan, Pengesan Gred Khas Bertaraf Antarabangsa Untuk Pasaran Harum Manis

05/06/2026 03:36 PM

KANGAR, 5 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perlis sedang merangka sebuah portal perdagangan elektronik dan pengesan gred khas bertaraf antarabangsa bagi membolehkan peladang memasarkan harum manis terus kepada pembeli global secara pintar.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Digital, Pengangkutan, Sains, Teknologi dan Inovasi Perlis Wan Zikri Afthar Ishak berkata langkah itu juga dilihat dapat membantu menangani isu penipuan jualan buah berkenaan menerusi dalam talian.

“Kita tengok dalam media sosial ada orang mengadu beli buah (harum manis) dalam talian dapat buah palsu, malah beli tepi jalan pun ada yang kena tipu. Jadi, dengan adanya stor dan ruang perniagaan seperti ini dapat membantu pengusaha kebun harum manis.

“Kita juga dapat memastikan tiada lagi penipuan secara dalam talian melalui perniagaan buah harum manis ini,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks Seri Putra, di sini hari ini.

Sementara itu, Wan Zikri Afthar berkata pihaknya mengemukakan permohonan rasmi kepada Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) pada 20 April lepas bagi memohon pembekalan 15 unit alat inovasi Pertanian Pintar (HabaQQQ NPK) berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata ia akan ditempatkan secara strategik pada setiap DUN di Perlis yang keseluruhannya mempunyai 15 DUN sebagai projek rintis peladang untuk mengukur kandungan nutrisi tanah secara masa nyata, sekali gus mengoptimumkan hasil harum manis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan