Oleh Nabilah Saleh
KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Kredibiliti, integriti dan pelaporan berasaskan konteks kekal menjadi teras utama kewartawanan ketika organisasi media di seluruh dunia berdepan perubahan teknologi pantas serta landskap maklumat yang semakin berpecah.
Bagi wartawan Malaysia di organisasi media antarabangsa, peranan mereka bukan sekadar melaporkan berita, sebaliknya turut bertindak sebagai penghubung penting dalam menjelaskan negara dan rantau ini kepada audiens global.
Wartawan koresponden Nikkei Asia di Malaysia, Norman Goh berkata peranan wartawan Malaysia dalam organisasi antarabangsa melangkaui sekadar melaporkan tajuk berita, sebaliknya turut memberi konteks dan perspektif sebagai rakyat Malaysia kepada penerbitan global.
“Peranan kami di sini, dalam mana-mana organisasi media antarabangsa adalah untuk memberikan konteks dan perspektif sebagai pakar Malaysia kepada penerbitan kami,” katanya kepada Bernama sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.
Norman yang menyertai Nikkei Asia pada 2023 selepas berkhidmat dengan delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia serta beberapa penerbitan antarabangsa berkata penulisan untuk audiens luar negara memerlukan wartawan menjelaskan perkembangan di Malaysia dalam perspektif serantau dan global yang lebih luas.
“Kita tidak boleh menganggap pembaca antarabangsa tahu apa yang berlaku di Malaysia, jadi kita perlu berusaha lebih untuk menjelaskan maksud sesuatu dasar dan bagaimana ia berbeza dengan negara lain,” katanya.
Antara laporan yang paling dibanggakan beliau ialah liputan mengenai industri dan syarikat Malaysia yang memberi impak di peringkat serantau, termasuk kerjasama rentas sempadan yang turut meraih pengiktirafan Anugerah Ekonomi SABEW 2024 Best in Business Awards.
Sementara itu, hos dan penyiar CGTN Bahasa Melayu di bawah China Media Group (CMG) di Beijing, Muhammad Isa Ahmad Zubir berkata pengalaman bekerja di salah sebuah organisasi media terbesar dunia itu membuka perspektif baharu terhadap dunia kewartawanan.
“Perkara yang paling mengejutkan saya ketika pertama kali memasuki bilik berita CMG ialah skalanya. CMG merupakan antara organisasi media terbesar dunia dengan rangkaian penyiaran dan kandungan dalam lebih 80 bahasa untuk audiens global,” katanya.
Beliau berkata walaupun berbeza persekitaran media, prinsip asas kewartawanan tetap tidak berubah iaitu menekankan ketepatan, kepantasan serta penyampaian maklumat yang bermakna kepada audiens.
Katanya latar belakang sebagai rakyat Malaysia turut membolehkan beliau memberi konteks budaya dan serantau dalam perbincangan melibatkan ASEAN dan Asia Tenggara, sekali gus secara tidak langsung menjadi “wakil tidak rasmi” Malaysia di Beijing.
Beliau turut mengakui landskap media global kini semakin bersifat multipolar, dengan audiens mencari kepelbagaian sudut pandang daripada pelbagai rantau, bukan lagi bergantung kepada satu naratif dominan.
“Semakin lama saya berada di luar negara, semakin saya menghargai Malaysia,” katanya sambil menambah bahawa kepelbagaian budaya, bahasa dan masyarakat negara ini lebih bermakna apabila dilihat dari luar.
Bagi Wartawan Pengesahan Digital Agence France-Presse (AFP) Najmi Syahiran Mamat pula, cabaran utama ketika ini bukan sahaja melaporkan berita dengan pantas, tetapi juga membendung maklumat palsu sebelum ia membentuk persepsi global.
Beliau berkata integriti, konsistensi dan proses pengesahan yang ketat kekal menjadi tunjang kewartawanan dalam era maklumat palsu yang boleh tersebar ke seluruh dunia dalam masa beberapa minit.
Najmi yang telah hampir tiga tahun bersama pasukan semakan fakta AFP berkata kerja pengesahan fakta sering memerlukan tindakan segera, terutama apabila naratif palsu mengenai Malaysia tular di media sosial dan bercanggah dengan realiti di lapangan.
“Sebagai pemeriksa fakta, kita tahu kebenaran di sebalik maklumat palsu yang tersebar pantas di media sosial dan kita memikul tanggungjawab untuk membetulkannya,” katanya.
Beliau berkata walaupun kerja semakan fakta sering tidak kelihatan, peranan itu amat penting dalam membendung penyebaran maklumat palsu serta melindungi masyarakat daripada penipuan dan manipulasi.
“Pengesahan bukan tentang kesempurnaan tetapi konsistensi, ketelusan dan integriti,” katanya.
Walaupun kerjaya mereka berbeza di bilik berita yang berlainan, ketiga-tiga wartawan itu sependapat bahawa asas kewartawanan kekal tidak berubah — ketepatan, konteks dan kepercayaan awam masih menjadi keutamaan.
HAWANA yang diperkenalkan pada 2018 mengiktiraf sumbangan wartawan kepada pembangunan negara, dengan 29 Mei dipilih sempena penerbitan pertama Utusan Melayu pada 1939.
HAWANA 2026 bertemakan “Media Berintegriti Teras Kredibiliti”, dengan sambutan utama di Pulau Pinang pada 20 Jun akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial