BERITA TERGEMPAR   Peningkatan luar biasa TVET di Malaysia didorong dasar kerajaan dan komitmen TPM Ahmad Zahid - PM Anwar | 
 EKONOMI

Malaysia, Indonesia Tekankan Kepentingan Perdagangan Intra-ASEAN

04/06/2026 04:39 PM

JAKARTA, 4 Jun (Bernama) -- Perdagangan dan pelaburan antara negara anggota ASEAN perlu dipertingkatkan bagi mengukuhkan daya tahan ekonomi serantau dalam menghadapi ketidaktentuan global, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan.

Beliau berkata perkara itu antara yang dibincangkan pada Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala Malaysia-Indonesia (JCBC) Ke-17 bersama rakan sejawatannya, Sugiono yang berlangsung di sini pada Khamis. 

Mohamad berkata pemimpin negara anggota ASEAN mahu melihat perdagangan intra-ASEAN terus dipertingkatkan memandangkan blok serantau itu masih banyak bergantung kepada perdagangan dengan negara di luar ASEAN.

“Hasrat pemimpin-pemimpin negara ASEAN mahu melihat supaya perdagangan intra-ASEAN ini dipertingkatkan. Kita banyak berdagang dengan negara di luar ASEAN.

“Perdagangan antara negara ASEAN ini tidak sampai 25 peratus. Bagaimana cara untuk kita mempertingkatkan perdagangan dan pelaburan sesama kita dalam ASEAN?” katanya pada sidang media bersama rakan sejawatnya selepas mesyuarat berkenaan.

Mohamad berkata ASEAN perlu mengambil iktibar daripada krisis yang berlaku di Asia Barat serta konflik antara Rusia dan Ukraine, yang menunjukkan kepentingan memperkukuh kerjasama ekonomi dalam kalangan negara anggota.

“Maka hasrat pemimpin ini perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin supaya perdagangan antara negara ASEAN dipertingkatkan dan yang mendapat kebaikannya nanti adalah rakyat kita,” katanya. 

Beliau berkata perbincangan turut merangkumi usaha meningkatkan kesalinghubungan dan memudahkan pergerakan rakyat antara negara-negara ASEAN bagi memperkukuh integrasi serantau.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan