PUTRAJAYA, 4 Jun (Bernama) -- Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara pada setiap 2 Jun mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan strategik TVET dalam membangunkan tenaga kerja mahir, kompeten dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan industri serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Bukan sekadar kalendar tahunan industri, sambutan itu turut menyediakan platform kepada pelajar, graduan, belia dan komuniti untuk meneroka peluang pekerjaan, temu duga terbuka, bimbingan kerjaya serta peluang keusahawanan berasaskan kemahiran TVET.
Kemuncak sambutan Hari TVET 2026 bakal menyaksikan Dataran Putrajaya menjadi tumpuan selama tiga hari bermula esok, dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merasmikan sambutan itu pada Sabtu ini.
Mengangkat tema “TVET Pilihan Utama Kerjaya”, sambutan itu diadakan berlandaskan enam objektif, iaitu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap TVET, mengangkat TVET sebagai pilihan utama kerjaya, menyediakan akses maklumat secara menyeluruh, menghubungkan bakat dengan industri, membuka peluang kerjaya dan keusahawanan serta memberi pengalaman TVET yang interaktif dan berimpak.
Sambutan itu dijangka dihadiri kira-kira 200,000 pengunjung serta bakal menghimpunkan lebih 107 agensi, institusi, dan pemain industri daripada sembilan sektor utama dalam satu pentas, merangkumi bidang aeroangkasa, elektronik dan digital, pertanian, pengangkutan dan automotif, pembuatan termaju, perkhidmatan, rel, maritim serta sektor tenaga.
Kelainan penganjuran sambutan pada tahun ini ialah penglibatan 30 pempamer dari China, sekali gus memperkukuh jalinan kerjasama antarabangsa dalam memperkasakan pembangunan ekosistem TVET tempatan.
Sambutan itu berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam, dan sepanjang tiga hari penganjuran bakal menyajikan pelbagai program serta aktiviti menarik kepada pengunjung menerokai enam hab utama, iaitu penglibatan institusi dan industri TVET; seminar; karnival kerjaya; usahawan TVET; cabaran serta hiburan berinformasi.
Acara itu juga bakal membuka peluang kebolehpasaran yang luas kepada pengunjung dengan penawaran hampir 3,000 kekosongan jawatan menerusi karnival kerjaya yang disediakan dengan kerjasama strategik bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Pemohon boleh terus memohon pekerjaan di lokasi program menerusi temu duga terbuka bersama pemain industri, selain melakukan semakan resume serta mendapatkan bimbingan kerjaya bagi mendapatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan berkata TVET terus menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan enrolmen keseluruhan sebanyak 459,558 pelajar manakala kadar kebolehpasaran graduan TVET meningkat kepada 95.9 peratus pada 2025.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara menyifatkan kejayaan itu adalah hasil komitmen dan kerjasama semua pihak yang percaya bahawa pendidikan berasaskan kemahiran merupakan antara pemacu utama kepada ekonomi yang lebih berdaya saing dan masa depan, yang lebih cerah untuk generasi akan datang.
Untuk rekod, sambutan Hari TVET Negara 2025 yang diadakan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 11 hingga 13 Jun lepas, berjaya menarik lebih 164,000 pengunjung, dengan mencatatkan rekod kehadiran luar biasa pada hari pertama iaitu seramai 41,830 pengunjung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial