SEREMBAN, 4 Jun (Bernama) -- Polis Negeri Sembilan melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah susulan penahanan dua lelaki warga Indonesia dalam dua serbuan di sekitar Port Dickson, awal pagi semalam dan merampas dadah bernilai RM1.4 juta.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata operasi kira-kira 3 pagi itu, dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson dengan kerjasama Cawangan Khas, IPD Port Dickson dan Pasukan Polis Marin Wilayah 2.
“Dalam serbuan pertama di kawasan perairan Kampung Kuala Lukut Port Dickson, polis menahan dua lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 30-an dalam sebuah bot pancung yang didapati membawa 10 bungkusan disyaki dadah jenis syabu seberat 12 kilogram.
“Dadah yang dibalut dengan plastik itu dianggarkan bernilai RM600,000 dan dipercayai untuk diseludup ke Indonesia,” katanya pada sidang media di sini hari ini
Beliau berkata hasil soal siasat kedua-dua suspek mengaku telah empat kali melakukan kegiatan seumpama itu sebelum ditahan dalam operasi berkenaan.
Alzafny berkata polis turut merampas bot pancung tanpa nombor pendaftaran yang digunakan kedua-dua suspek dalam kegiatan itu dan menahan reman mereka tujuh hari sehingga 9 Jun untuk siasatan.
Sementara itu, hasil soal siasat dilakukan, polis mengesan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di kawasan Tanjung Agas, Port Dickson yang dipercayai dipandu oleh suspek utama untuk membawa bekalan dadah dari Kuala Lumpur sebelum menyerahkannya kepada penerima di sekitar Pengkalan Kempas, Linggi.
Beliau berkata sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek yang merupakan warga tempatan, berusia 42 tahun cuba melarikan diri dengan memandu sejauh enam kilometer, sebelum kenderaan tersebut terbabas di kawasan ladang kelapa sawit Pengkalan Kempas.
"Bagaimanapun suspek dapat melarikan diri dan meninggalkan kenderaannya di lokasi kejadian. Hasil pemeriksaan lanjut dalam kenderaan itu, polis menemukan syabu seberat 14.4 kilogram bernilai RM744,000 serta 100 bungkusan cecair vape disyaki mengandungi dadah ketamin bernilai RM100,000," katanya.
Alzafny berkata pihaknya kini sedang memburu lelaki berkenaan yang didapati mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial