KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya mengatasi cabaran pasangan senegara untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Indonesia 2026 di Jakarta.
Pilihan kedua kejohanan itu hanya memerlukan 31 minit untuk menewaskan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King 21-15, 21-14 dalam perlawanan pusingan pembukaan pada Rabu di Istora Senayan.
Kemenangan itu juga menyaksikan Aaron-Wooi Yik mengekalkan rekod cemerlang menentang Wan Arif-Roy King setelah memenangi keempat-empat pertemuan antara kedua-dua pasangan.
Menanti mereka di pusingan berikutnya ialah pasangan Indonesia Raymond Indra-Nikolaus Joaquin, yang menewaskan wakil Jepun Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi 21-9, 21-13.
Sementara itu, beregu muda Malaysia Kang Khai Xing-Aaron Tai juga mara ke pusingan kedua.
Pasangan nombor 23 dunia itu mara selepas gandingan India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty terpaksa menarik diri pada set pertama, dengan Satwiksairaj dipercayai mengalami kecederaan ketika pasangan Malaysia mendahului 11-6.
Pada pusingan kedua, Khai Xing-Aaron akan menentang pasangan India Hariharan Amsakarunan-M.R. Arjun yang menewaskan pasangan beregu profesional Malaysia Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 21-18, 21-10.
Dalam acara beregu wanita, pasangan utama negara dan pilihan kedua Pearly Tan-M. Thinaah berjaya melangkah ke pusingan kedua selepas mudah menewaskan wakil Kanada Jackie Dent-Crystal Lai 21-13, 21-14.
Pearly-Thinaah seterusnya akan menentang pasangan Taiwan Hsu Ya Ching-Sung Yu Hsuan yang menewaskan gandingan Hong Kong Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan 21-13, 17-21, 21-16.
Dalam pada itu, perseorangan wanita nombor satu negara K. Letshanaa melangkah ke pusingan kedua selepas mengejutkan pemain nombor 20 dunia dari Denmark Line Højmark Kjaersfeldt, 21-14, 19-21, 21-13.
Bagaimanapun, cabaran getir menanti Letshanaa esok apabila dijadualkan menentang pemain nombor tiga dunia dari Jepun Akane Yamaguchi yang menewaskan pemain Taiwan Huang Yu-Hsun 21-17, 21-11.
Keputusan lain
------------------
(Nota: Pemain Malaysia kecuali dinyatakan)
Beregu wanita:
Ong Xin Yee-Carmen Ting mn Kaho Osawa-Mai Tanabe (JPN) 15-21, 21-9, 21-19
Beregu campuran:
Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mn Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja (INA) 17-21, 21-16, 23-21
Gao Jia Xuan-Wei Ya Xin (CHN) mn Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien 21-11, 21-17
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial