Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Prestasi niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meningkat pada akhir dagangan Rabu selepas cuti panjang, dipacu oleh peningkatan harga minyak mentah serta minyak kacang soya.
Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata sentimen itu turut didorong oleh jangkaan pengeluaran lebih rendah pada minggu-minggu akan datang.
“Bagi saya, pengeluaran lebih rendah ini lazimnya bersifat secara bermusim dan berdasarkan jangkaan. Sehubungan itu, kami menjangkakan paras sokongan pada RM4,500 satu tan manakala paras rintangan pada RM4,750 satu tan,” katanya.
Beliau turut memetik data Persatuan Pengilang-Pengilang Kelapa Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) mengenai pengeluaran minyak sawit bagi tempoh 1 hingga 31 Mei yang susut sebanyak 10.07 peratus.
Setakat ini, harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global naik 2.08 peratus ke paras US$98.00 setong, sekali gus menyuntik sokongan tambahan kepada harga minyak sawit.
Pada akhir dagangan, kontrak MSM bulan semasa Jun 2026 dan Julai 2026 masing-masing naik RM135 kepada RM4,605 satu tan dan RM4,638 satu tan.
Kontrak Ogos 2026 meningkat RM142 kepada RM4,677 satu tan manakala September 2026 dan Oktober 2026 masing-masing meraih RM144 kepada RM4,705 satu tan dan RM4,734 satu tan.
Selain itu, November 2026 pula menambah RM141 kepada RM4,761 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 104,077 lot berbanding 76,012 lot pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka naik kepada 289,868 kontrak daripada 285,715 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM bagi Jun Selatan meningkat RM150 kepada RM4,640 satu tan.
Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup pada Isnin 1 Jun dan Selasa 2 Jun sempena cuti umum Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong serta cuti ganti Hari Wesak sebelum beroperasi semula hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial