AM

Industri Ikan Hiasan Kelantan Cecah RM8 Juta Dalam Tiga Tahun

03/06/2026 07:49 PM

BACHOK, 3 Jun (Bernama) -- Industri ikan hiasan di Kelantan mencatatkan nilai pengeluaran melebihi RM8 juta bagi tempoh 2023 hingga 2025, dengan penghasilan sebanyak 468,673 ekor ikan pelbagai spesies.

Pengarah Perikanan Kelantan, Ismail Ibrahim berkata spesies utama yang diternak pengusaha tempatan ialah guppy, betta dan molly yang terus mendapat permintaan menggalakkan dalam pasaran.

Beliau berkata setakat ini terdapat 47 pengusaha ikan hiasan aktif di negeri itu yang melibatkan kawasan Kota Bharu, Bachok, Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Tumpat, Gua Musang dan Kuala Krai.

“Pencapaian ini membuktikan industri ikan hiasan mempunyai potensi besar sebagai salah satu cabang akuakultur yang mampu menjana pendapatan kepada usahawan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penutupan Pesta Ikan Hiasan dan Akuakultur Negeri Kelantan 2026 di Dataran Pantai Irama, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata pihaknya menggalakkan lebih ramai masyarakat, khususnya golongan belia menceburi bidang penternakan ikan hiasan yang mempunyai prospek cerah serta potensi pulangan yang baik.

Menurutnya, industri itu boleh diusahakan secara komersial dalam skala besar selain sesuai dijalankan dari rumah dengan modal lebih rendah berbanding beberapa cabang akuakultur lain.

“Ikan hiasan mempunyai kelompok peminat tersendiri dan nilainya bergantung kepada spesies, saiz, warna serta kualiti ikan. Malah, terdapat spesies tertentu seperti arowana yang boleh mencecah harga ribuan ringgit seekor.

“Selain dijual sebagai haiwan peliharaan, ikan hiasan juga mempunyai nilai komersial melalui penyertaan dalam pertandingan dan pameran yang menarik minat peminat dari dalam dan luar negara.

“Pesta Ikan Hiasan dan Akuakultur Negeri Kelantan 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam menghimpunkan lebih 80 peserta dengan pameran lebih 300 spesies ikan hiasan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan