EKONOMI

Matrix Concepts Catat Untung Bersih Lebih Tinggi RM219.33 Juta Pada Tahun Kewangan 2026

28/05/2026 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Matrix Concepts Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM219.33 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (TK2026) daripada RM214.03 juta pada tahun kewangan sebelumnya. 

Pemaju hartanah itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perolehan meningkat kepada RM1.36 bilion daripada RM1.15 bilion sebelumnya.

Oleh itu, lembaga pengarah mengumumkan dividen interim satu peringkat keempat sebanyak 1.25 sen sesaham biasa bagi TK2026, yang akan dibayar pada 9 Julai 2026. 

Bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (S4 2026), Matrix Concepts mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM38.70 juta berbanding RM42.67 juta pada suku yang sama tahun lepas, manakala perolehan meningkat sedikit kepada RM308.91 juta kepada RM305.17 juta sebelumnya. 

Menurut Matrix Concepts, pembangunan hartanah kekal sebagai pemacu pendapatan terasnya, menyumbang sebanyak RM291.6 juta atau 94.4 peratus daripada jumlah pendapatan sepanjang suku tahun dalam tinjauan. 

“Sendayan Developments, syarikat utama kumpulan ini di Negeri Sembilan, terus menjadi penyumbang pendapatan terbesar kumpulan, dengan menjana RM163.5 juta, sekali gus menyumbang sebanyak 52.9 peratus daripada jumlah pendapatan.

“Segmen pembangunan hartanah terus menerima sokongan yang lebih kukuh daripada perbandaran Bandar Seri Impian, yang merekodkan perolehan sebanyak RM16.4 juta, iaitu bersamaan dengan peningkatan 106.7 peratus, berbanding RM7.9 juta yang dilaporkan sebelum ini,” katanya.

Matrix Concepts menambah bahawa tumpuan utama sepanjang suku tersebut ialah sumbangan pertama daripada Bandar Lembah Wawasan Malaysia (Bandar MVV), yang berjaya menjana sebanyak RM46.7 juta hasil daripada jualan hartanah perindustrian. 

“Segmen Lembah Klang kumpulan ini merekodkan pertumbuhan yang baik, dengan Levia Residence menyumbang sebanyak RM37.1 juta berbanding RM18.7 juta pada S4 2026,” katanya. 

Menurut kumpulan itu lagi, segmen hospitaliti, penjagaan kesihatan dan pendidikannya secara kolektifnya menunjukkan prestasi yang kukuh, dengan gabungan pendapatan meningkat kepada RM15.3 juta pada suku keempat 2026 daripada RM13.2 juta pada suku keempat 2025.

“Segmen hospitaliti merekodkan pendapatan RM5.9 juta, iaitu naik sebanyak 13.3 peratus, daripada RM5.2 juta, terutamanya didorong oleh kadar kunjungan dan penghunian yang lebih tinggi di rumah kelab dan hotelnya semasa tempoh perayaan.

“Bahagian penjagaan kesihatan meningkat dengan ketara, menyumbang sebanyak RM1.7 juta dalam yuran pengurusan di bawah Perjanjian Pengurusannya berbanding RM1.0 juta pada suku keempat 2025, manakala segmen pendidikan meningkat kepada RM7.7 juta daripada RM7.0 juta, disokong oleh pendaftaran pelajar yang lebih tinggi,” katanya. 

Matrix Concepts berkata ia turut mencatatkan sumbangan daripada segmen pendapatan baharu yang melibatkan penjualan bahan binaan, yang menjana sebanyak RM2.0 juta semasa suku tahun dalam tinjauan.

Mengenai prospek, kumpulan itu berkata ia kekal pada kedudukan yang baik bagi pertumbuhan yang mampan, disokong oleh permintaan yang kukuh untuk hartanahnya, terutamanya dalam pembangunan utamanya di Sendayan. 

“Kumpulan ini dijangka menjana nilai jangka panjang yang ketara menerusi projek Bandar MVV di Negeri Sembilan, yang dibangunkan secara bersama dengan kerajaan negeri, sekali gus mengukuhkan peranan strategiknya dalam memacu pertumbuhan ekonomi serantau. 

“Pelancaran produk perindustrian awal di bawah pembangunan transformatifnya telah menerima sambutan pasaran yang menggalakkan dan meluas, mencerminkan keyakinan pelabur yang kukuh dan memberikan prospek yang positif bagi fasa kediaman serta komersial yang akan datang,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan