Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz
KAMPOT (Kemboja), 27 Mei (Bernama) -- Umat Islam yang menyertai pakej ibadah korban dinasihatkan supaya menuntut ketelusan berhubung kos sebenar pengurusan daripada pihak penganjur bagi menjamin kesempurnaan ibadah tersebut.
Naib Presiden Eksekutif Syariah Kumpulan Bank Rakyat Mohd Zamerey Abdul Razak berkata langkah itu penting bagi mengelakkan peserta daripada menjadi mangsa khususnya membabitkan isu lebihan wang yang tidak diisytihar oleh wakil pengurusan.
Beliau berkata ibadah korban di luar negara berlandaskan kontrak perwakilan (wakalah) memandangkan peserta tidak melihat fizikal haiwan secara terus, dan sebarang baki wang belian masih kekal sebagai hak mutlak peserta.
"Dalam kes korban luar negara, peserta mewakilkan penganjur untuk membeli lembu... apabila terdapat lebihan wang, ia sebenarnya masih milik peserta dan penganjur wajib meminta izin tentang bagaimana ia harus diuruskan.
"Penganjur mesti memaklumkan sama ada lebihan itu mahu dipulangkan, dijadikan upah tambahan atau disedekahkan ke masjid... mereka tidak boleh berdiam diri kerana perbuatan itu ibarat memakan harta orang lain tanpa hak," katanya kepada Bernama di Maahad Imam Syafi’e Kampung Keh di sini hari ini
Mengulas lanjut, Mohd Zamerey berkata kos sebenar ternakan di luar negara seperti Kemboja biasanya berbeza mengikut saiz haiwan dan lokasi kampung yang dipilih.
Beliau berkata keadaan itu secara tidak langsung pasti mewujudkan lebihan wang apabila dibandingkan dengan harga pakej pukal tetap yang ditawarkan kepada peserta di Malaysia.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil mudah soal pengurusan kewangan pakej tersebut hanya kerana ia program keagamaan.
"Sikap masyarakat kita yang pemurah menyebabkan mereka kadangkala mudah terpedaya... apabila dikaitkan dengan agama, ramai yang beranggapan tidak manis untuk berkira.
"Akibatnya, ramai peserta tidak menyedari wujudnya lebihan wang daripada peruntukan asal yang mereka bayar, yang mungkin diambil tanpa pengetahuan dan pengisytiharan," katanya.
Mohd Zamerey berkata peserta berhak untuk bertanya kepada penganjur mengenai perincian pecahan kos secara berhemah supaya status sumbangan mereka benar-benar jelas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial