Daripada Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz
KAMPOT (KEMBOJA), 27 Mei (Bernama) -- Bank Rakyat meneruskan misi Program Kembara Korban Kemboja dengan sumbangan 52 ekor lembu bernilai lebih RM178,000 bersempena dengan Aidiladha bagi komuniti Islam di sini.
Program tahunan itu merupakan kesinambungan daripada inisiatif Kembara Kemboja yang diperkenalkan sejak 2015 oleh bank berkenaan.
Pada tahun ini, daging korban diagihkan kepada 5,400 keluarga di 24 kampung di sekitar daerah Kampot, antaranya Kampung Phum Cham dan Kampung Keh di sini.
Ketua Pegawai Kewangan Bank Rakyat Nor Haimee Zakaria berkata program itu bertujuan menyantuni penduduk di kawasan pedalaman Kemboja yang hidup dalam serba kekurangan, di samping memberikan peluang kepada komuniti Islam di negara berkenaan merasai kemeriahan sambutan hari raya korban.
"Tahun ini, selain sumbangan korban, kita juga agihkan bakul makanan menerusi program baharu kita, iaitu Salam Aidiladha.
"Program ini bukan sahaja kita lakukan di Kemboja, tetapi juga di Malaysia, yang menterjemahkan peranan kami dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat setiap tahun," katanya ketika ditemui di Masjid An-Nur, Kampung Samraong, di sini hari ini.
Beliau turut menggalakkan orang ramai untuk merancang ibadah korban mereka lebih awal menerusi kemudahan Akaun Simpanan-i Tabung Qurban yang disediakan dalam aplikasi perbankan i-Rakyat.
Katanya, pelanggan boleh mula menabung secara berperingkat serendah RM20 ke dalam akaun peribadi mereka.
"Kaedah ini merupakan antara cara terbaik untuk menggalakkan umat Islam menabung sedikit demi sedikit, apabila jumlahnya sudah mencukupi, wang tersebut boleh digunakan untuk melaksanakan ibadah korban pada setiap tahun," katanya.
Antara rakan kerjasama yang terlibat termasuklah Surau Al-Barakah Menara Kembar Bank Rakyat, Maahad Imam Syafi’e Kampung Keh Kampot, Pusat Wakaf Endowmen Zakat Khairat dan Sedekah, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Yayasan As-Syafi’e, Shafi’e Charitable Association dan Surau Bangi Perdana.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial