FOKUS BERNAMA

Daripada Ruang Kosong Ke Ruang Kongsi: RUKOM Pengikat Kasih Masyarakat, Penghubung Generasi

26/05/2026 09:41 AM
Daripada Syamsiah Sahat

Sebelum ada Ruang Komuniti (RUKOM) di Pangsapuri Seri Kepayang di sini, hati Nur Hamisah Yaakob sering dipagut bimbang akan keselamatan tiga anaknya yang keluar bermain dengan rakan-rakan mereka di sekitar kawasan itu hampir setiap petang.

Masakan tidak, pangsapuri itu berjiran dengan sebatang sungai, dan aliran air yang sejuk tersebut berisiko menjadi perangkap maut buat kanak-kanak, terutamanya ketika musim panas, sementelah pada waktu berkenaan rata-rata orang dewasa masih berada di tempat kerja kalaupun tidak sibuk dengan rutin harian di rumah.

“Selepas penat belajar, anak-anak pun mahu bermain di ruang terbuka, tetapi kita tak dapat nak pantau atau teman mereka bermain di bawah (pangsapuri) 24 jam.

“Mujurlah ada RUKOM sejak Disember tahun lalu. Sekarang, anak-anak cuma bermain di situ, mereka dah tak ke tempat lain. Di RUKOM mereka jumpa kawan, bermain congkak, karom dan macam-macam lagi,” kata suri rumah berusia 40 tahun itu kepada Bernama.

Bagi K.Kithana, 13, pula, dia dan dua adiknya menjadikan RUKOM sebagai ruang untuk mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan kerja sekolah selain membina persahabatan dengan rakan sebaya.

“Kalau dulu, nak beriadah kena keluar dengan mak ayah. Sekarang bila datang sini, bukan saja dekat dengan kedai, tetapi ada ramai orang dewasa yang kita kenal, jadi tak rasa bimbang,” katanya.

 

KEMBALIKAN SEMANGAT KEJIRANAN, KEPEDULIAN 

Ditempatkan masing-masing satu di Blok A dan B, RUKOM di pangsapuri itu turut berperanan sebagai tempat penduduk bermesyuarat dan melakukan pelbagai aktiviti komuniti termasuk menganjurkan majlis kecil-kecilan.

Menurut Timbalan Ketua Persatuan Penduduk Pangsapuri Seri Kepayang Mohammad Nordin Badardin, kedua-dua RUKOM yang dilengkapi lampu dan kipas serta kemudahan ruang untuk anak-anak belajar dan bermain itu, diwujudkan dengan memanfaatkan ruang kosong atau void deck yang tidak digunakan sebelum ini.


Kedua-dua RUKOM yang dilengkapi lampu dan kipas serta kemudahan ruang untuk anak-anak belajar dan bermain itu, diwujudkan dengan memanfaatkan ruang kosong atau void deck yang tidak digunakan sebelum ini.

“RUKOM ini disiapkan dengan peruntukan sebanyak RM20,000 hingga RM30,000. Cuma sekarang kita berharap ada peruntukan untuk kita bina tandas dan juga memasang CCTV bagi memperkukuh ciri keselamatan,” katanya. 

Beliau berkata sejak RUKOM diwujudkan, pergaulan antara penduduk yang pelbagai bangsa juga kian erat.

“Saya sering menerima permohonan penduduk untuk membuat majlis makan-makan atau majlis hari jadi kecil-kecilan.

“Boleh dikatakan RUKOM ini mengembalikan semangat kejiranan, semangat gotong-royong dan rasa peduli dalam kalangan penduduk,” katanya, menambah penduduk bergilir-gilir melakukan rutin pembersihan setiap hari serta bergotong-royong menyediakan landskap menarik seperti menanam pokok hiasan.

 

PERANAN URBANICE MALAYSIA 

RUKOM merupakan sebahagian daripada komitmen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah kepimpinan Menterinya Nga Kor Ming yang mahu mewujudkan persekitaran lebih harmoni, inklusif dan sejahtera di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menyasarkan pembinaan 100 RUKOM di seluruh negara, projek itu yang dilaksanakan menerusi URBANICE Malaysia -  Pusat Kecemerlangan Kemampanan Bandar dan Kesejahteraan Komuniti di bawah KPKT -  bermula dengan pelancaran RUKOM PPR Seri Malaysia di Kuala Lumpur pada 6 Julai 2023.  


Ditempatkan masing-masing satu di Blok A dan B, RUKOM di pangsapuri itu turut berperanan sebagai tempat penduduk bermesyuarat dan melakukan pelbagai aktiviti komuniti termasuk menganjurkan majlis kecil-kecilan.

Ketua Pegawai Operasi URBANICE Malaysia Dr Mohd Rizal Osman berkata inisiatif RUKOM bertujuan memperkukuh peranan ruang sosial di kawasan perumahan awam dan petempatan komuniti supaya lebih berdaya huni dan selamat.

Menerusi inisiatif ini, void deck di PPR diubah suai menjadi pusat integrasi sosial yang kondusif, membolehkan penduduk berinteraksi dan beraktiviti bersama-sama, merentasi kaum dan agama.

“Berkonsepkan ‘Social Integration at Common Space’, ruang kongsi ini dengan slogan ‘Merapatkan Generasi, Membina Hubungan Komuniti melalui Ruang Kongsi Bersama’.

“Matlamatnya untuk mencetuskan aktiviti sosial yang baik, selamat serta memberikan peluang kepada penduduk yang berbeza latar belakang, kumpulan umur dan kaum untuk membina hubungan komuniti yang sihat dan kukuh seiring dengan matlamat Malaysia MADANI,” katanya.

Katanya inisiatif itu turut bertujuan memacu pelaksanaan pembangunan bandar mampan dengan menterjemahkan dasar-dasar KPKT kepada tindakan pelaksanaan melalui projek komuniti, penyelidikan, pelan hala tuju SDG Cities Malaysia serta sokongan khidmat nasihat dan teknikal kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kementerian.

 

RUKOM PANGSAPURI SERI KEPAYANG KE-100 BUKTI KOMITMEN KPKT

RUKOM di Pangsapuri Seri Kepayang yang memberi manfaat kepada kira-kira 1,600 penduduk, melakar sejarah sebagai Ruang Komuniti ke-100 dan dilancarkan Disember tahun lalu menandakan inisiatif ini mencapai sasaran ditetapkan.

“Kejayaan pelancaran RUKOM ke-100 ini bukan penamat tetapi permulaan fasa baharu KPKT dalam membina persekitaran hidup yang lebih sejahtera.


RUKOM merupakan sebahagian daripada komitmen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah kepimpinan Menterinya Nga Kor Ming yang mahu mewujudkan persekitaran lebih harmoni, inklusif dan sejahtera di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“KPKT akan terus memperluas inisiatif RUKOM, memastikan setiap komuniti perumahan rakyat mempunyai ruang yang inklusif untuk berinteraksi, berinovasi dan memperkukuh perpaduan,” kata Nga pada majlis pelancaran RUKOM tersebut 6 Dis tahun lalu.

Sementara itu, Mohd Rizal berkata pelaksanaan RUKOM tidaklah semudah yang disangka kerana terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi terlebih dahulu.

“Antara cabaran utama ialah kekangan ruang fizikal memandangkan tidak semua bangunan PPR di Malaysia mempunyai kawasan kosong atau void deck yang sesuai dijadikan ruang komuniti. Daripada keseluruhan 178 lokasi PPR di seluruh Malaysia, hanya 81 lokasi mempunyai kemudahan void deck atau ruang kosong, manakala selebihnya terdiri daripada PPR berkonsep strata dan kediaman bertanah.

“Selain itu, kelulusan daripada pihak berkaitan seperti Lembaga Perumahan Negeri dan PBT juga perlu diperoleh sebelum sebarang pembangunan dapat dijalankan.”

“Proses ini turut memerlukan perbincangan dengan penduduk, penyediaan profil setempat serta perancangan belanjawan pelaksanaan yang teliti bagi memastikan projek dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.

Justeru katanya, pelancaran RUKOM ke-100 di PPR Pangsapuri Seri Kepayang merupakan satu pencapaian besar, menandakan kejayaan KPKT dalam memperluas akses kepada ruang komuniti yang mesra rakyat, selamat dan berimpak sosial tinggi.

RUKOM bukan sekadar ruang fizikal, tetapi ruang sosial yang menghubungkan generasi, memperkukuh jaringan komuniti serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

Kejayaan 100 RUKOM ini membuktikan bahawa dengan visi yang jelas, sokongan pelbagai pihak dan penglibatan aktif komuniti, pembangunan fizikal boleh diterjemahkan menjadi pembangunan sosial yang mampan dan berperikemanusiaan, jelasnya.

 

PERANCANGAN URBANICE 

Meneruskan misi dan visi ke depan, Mohd Rizal berkata URBANICE akan mencari jalan penyelesaian untuk menyediakan RUKOM di kawasan PPR yang tidak mempunyai void deck, dan tidak menolak kemungkinan menggunakan ruang tanah kosong atau underutilised space.

Untuk tahun ini, URBANICE Malaysia merancang menyiapkan tambahan 23 RUKOM, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 123 RUKOM di seluruh negara.


Daripada keseluruhan 178 lokasi PPR di seluruh Malaysia, hanya 81 lokasi mempunyai kemudahan void deck atau ruang kosong, manakala selebihnya terdiri daripada PPR berkonsep strata dan kediaman bertanah.

“Bagi memastikan kelangsungan projek, model pembiayaan RUKOM tidak bergantung pada satu sumber sahaja.

“Selain daripada sumbangan dana dan kolaborasi strategik korporat (seperti Inisiatif ESG/SDG oleh KLCC), pelaksanaan RUKOM juga menggunakan peruntukan hasil penjimatan tahunan KPKT.

“Peruntukan penjimatan ini disalurkan kepada URBANICE Malaysia melalui agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, seperti Jabatan Perumahan Negara dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan ," katanya.

Beliau berkata untuk fasa seterusnya, URBANICE tidak lagi memfokuskan pembinaan RUKOM secara eksklusif di kawasan PPR, sebaliknya diperluaskan ke pelbagai demografi baharu termasuk kawasan sekolah dan institusi pendidikan.

Antaranya ialah pembinaan RUKOM di Sekolah Kebangsaan Sinar Bahagia, Kulai, Johor.

“Juga kita perluaskan di kawasan subbandar dan perkampungan, sebagai contoh pembinaan RUKOM di Kampung Bahagia, Teluk Intan, Perak,” katanya.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan