KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Institusi tempatan meneruskan trend belian bersih di Bursa Malaysia untuk minggu keenam berturut-turut, dengan merekodkan aliran masuk bersih berjumlah RM572.9 juta minggu lepas, menurut MBSB Investment Bank Bhd.
Bank pelaburan itu memaklumkan pelabur runcit juga turut melanjutkan belian bersih mereka untuk dua minggu berturut-turut, dengan aliran masuk sebanyak RM339.7 juta.
Bagi Institusi asing pula, mereka meneruskan trend penjualan bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan merekodkan aliran keluar bersih bernilai RM912.6 juta.
Institusi asing merupakan penjual bersih untuk lima hari dagangan sepanjang minggu itu.
“Aliran keluar terbesar direkodkan pada Rabu sebanyak RM329.2 juta, diikuti Selasa (RM256.5 juta), Khamis (RM156.5 juta), Isnin (RM106.3 juta) dan Jumaat (RM64.2 juta),” menurut bank itu.
Ia menambah aliran masuk asing hanya direkodkan dalam tiga sektor iaitu teknologi (RM79.2 juta), pengangkutan dan logistik (RM57.0 juta), serta tenaga (RM1.3 juta).
Bagi tiga sektor utama yang mencatat aliran keluar asing ialah produk dan perkhidmatan pengguna (RM347.4 juta), utiliti (RM214.7 juta) dan penjagaan kesihatan (RM180.7 juta).
Sementara itu, untuk lapan pasaran Asia yang dikaji, pelabur asing meneruskan trend jualan bersih untuk dua minggu berturut-turut dengan jumlah aliran keluar sebanyak US$9.59 bilion.
“Satu-satunya pasaran yang mencatatkan aliran masuk asing bersih ialah Taiwan, manakala aliran keluar didahului oleh Korea Selatan, diikuti oleh India, Vietnam, Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial