AM

Rumah Kasih Johor Beri Sinar Baharu Kepada Penduduk Kawasan Sering Dilanda Banjir

25/05/2026 11:20 AM

Oleh Nur Fadhliana Shaari

KULAI, 25 Mei (Bernama) -- Selama lebih tiga dekad, setiap kali musim tengkujuh melanda, hanya satu perkara dibimbangkan oleh Hamimah Haris, 64, iaitu keselamatan keluarganya berikutan struktur rumah mereka yang semakin uzur dan senget akibat sering dilanda banjir.

Bagaimanapun, warga emas dari Kampung Murni Jaya itu kini boleh menarik nafas lega selepas dipilih sebagai antara penerima manfaat program Rumah Kasih Johor (RKJ), satu inisiatif rumah percuma oleh kerajaan negeri untuk golongan memerlukan. 

Hamimah berkata kediaman baharu dengan tiga bilik yang didudukinya sejak 2024 itu bukan sahaja lebih kukuh, malah dibina dengan struktur lebih tinggi serta mempunyai laluan khas bagi memudahkan pergerakan suaminya, Mahat Panot, 69, yang kurang upaya akibat strok.

“Rumah lama kami dah senget sebab selalu kena banjir. Memang rasa tak selamat, jadi bila tahu mengenai RKJ kami terus buat permohonan. Baru-baru ini air naik (banjir) juga sedikit, tetapi sebab rumah ini dibina di tanah yang sudah ditambak tinggi, syukur air tidak masuk dalam rumah," katanya kepada Bernama.

Hamimah yang juga seorang peniaga kecil, turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor atas keprihatinan mereka terhadap golongan kurang berkemampuan sepertinya.

Situasi sama turut dirasai penduduk Kampung Sungai Siam di sini apabila menerima rumah secara percuma yang lebih selesa dan selamat, selepas bertahun-tahun resah setiap kali hujan lebat.

Bagi Norma S M Hamid Sultan, 67, rumah lamanya yang terletak berhampiran kediaman baharu sememangnya diketahui sebagai penempatan yang sering dilanda banjir setiap kali hujan lebat kerana berada di lokasi tanah rendah. 

Ibu tunggal yang memiliki sembilan anak itu berkata perkara itu amat membebankan mereka yang tinggal di kampung itu kerana perlu menukar perabot baharu selain menyukarkan pergerakan serta urusan harian mereka.

“Sebab itu kami gembira apabila rumah baharu ini ditambak tinggi, jadi kami harap kalau hujan lebat selepas ini, rumah tidak lagi dinaiki air. Harga rumah sekarang mahal. Apabila kerajaan beri rumah percuma macam ini, ia memang bantuan besar untuk keluarga yang kurang mampu,” katanya.

Norma yang membuat permohonan pada tahun lepas dan dijangka memasuki rumah berkenaan Jun ini berkata perasaannya bercampur baur antara gembira dan sebak mengenangkan kesukaran hidup selepas suaminya meninggal dunia akibat sakit jantung kira-kira 14 tahun lepas.

Seorang lagi penerima di kampung sama, Norazizah Ismail, 54, berkata dia dan suaminya, Ramli Mahat, 59, bersyukur apabila akhirnya dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa selepas sekian lama berdepan banjir tahunan di kampung berkenaan.

Norazizah yang tinggal di rumah pusaka selama 11 tahun berkata proses permohonan bermula pada November 2024 dan dia kini sudah menduduki rumah berkenaan yang berkeluasan 600 kaki persegi dengan tiga bilik dan satu bilik air sejak Februari lepas. 

“Syukur prosesnya dipermudah. Apabila dapat rumah baharu macam ini memang rasa lega, sebab itu bila kerajaan bina rumah lebih tinggi macam ini, kami rasa lebih selamat dan tenang,” katanya.

Penerima dari Kampung Murni Jaya, Dolmat Dollah, 64, pula menyifatkan bantuan rumah percuma di atas tanah pusaka isterinya Fauziah Mat Mali, 59, di Sedenak sebagai satu rahmat besar selepas bertahun-tahun menumpang rumah pusaka orang tuanya yang terletak di atas tanah milik abangnya.

"Sebagai ketua keluarga, memang dah lama saya nak rasa ada rumah sendiri. Sebelum ini kami menumpang, jadi perasaan itu tidak sama kerana kita tidak tahu apa akan jadi pada masa akan datang.

"Apabila dapat RKJ ini, rasa sangat lega dan hilang satu beban fikiran. Akhirnya, ada rumah sendiri," kata bapa kepada tiga anak itu yang dijangka berpindah ke rumah baharu tersebut bulan depan, sambil memuji kecekapan proses kelulusan dan pembinaan rumah berkenaan yang disifatkannya sebagai pantas dan mudah.

Dalam pada itu, Penghulu Mukim Sedenak Mohd Amirul Ali Zulkifli berkata inisiatif RKJ memberi perubahan besar kepada kehidupan rakyat khususnya golongan kurang berkemampuan yang sebelum ini sukar memiliki rumah sendiri.

“Rumah ini bukan sekadar tempat berteduh tetapi saya tengok boleh beri keyakinan dan harga diri kepada penerima. Ada yang sebelum ini menumpang rumah keluarga dan hidup berpindah-randah,” katanya dan menambah antara 15 hingga 23 rumah di Kampung Sungai Siam biasanya terjejas setiap kali banjir berlaku.

Tahun ini, Kerajaan Negeri Johor menambah sebanyak 200 unit rumah percuma RKJ menjadikan keseluruhan sebanyak 700 RKJ, berbanding sasaran asal 500 unit.

Setakat ini, sebanyak 477 unit RKJ telah dirancang dan digerakkan di 10 daerah dan 26 Parlimen di seluruh negeri, dengan 217 unit siap dibina, 48 dalam pembinaan dan 212 lagi dalam perancangan pelaksanaan.

Kerajaan negeri turut melaksanakan beberapa penambahbaikan syarat kelayakan antaranya meningkatkan paras Garis Kemiskinan Per Kapita daripada RM652 kepada kira-kira RM850 bagi membolehkan lebih ramai golongan berpendapatan rendah layak dipertimbangkan bagi bantuan rumah percuma itu.

Selain itu, kelonggaran juga diberikan melibatkan penggunaan tanah keluarga termasuk tanah milik ibu bapa atau adik-beradik dengan kebenaran pemilik tanah, selain pertimbangan khas kepada kes tertentu di luar senarai e-Kasih.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan