POLITIK

Sidang DUN Khas Johor: Tanya Menteri Besar - Puad Zarkashi

17/05/2026 09:25 PM

JOHOR BAHRU, 17 Mei (Bernama) -- Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini berkata beliau belum dimaklumkan mengenai dakwaan sidang dewan khas bagi pembubaran DUN pada 24 Jun ini seperti yang dilaporkan media.

Beliau ketika dihubungi Bernama berkata perkara itu lebih wajar disahkan sendiri oleh Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Tanya Menteri Besar, saya pun belum tanya Menteri Besar. Mungkin ada bajet tambahan untuk Bantuan Kasih Johor bagi golongan yang terlepas pandang,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp.

Spekulasi mengenai sidang DUN khas yang dikaitkan dengan pembubaran DUN timbul selepas tular jemputan makluman awal kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) berhubung sidang berkenaan pada tarikh itu.

Semalam, Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor menerusi hantaran di Facebook mengumumkan BN akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi UMNO dan BN Johor mengenai hala tuju parti menjelang pilihan raya berkenaan.

Penggal pentadbiran kerajaan negeri Johor dijadualkan berakhir pada April 2027.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan