JENAYAH & MAHKAMAH

Ghairah Muat Naik Video Kejadian Jenayah Boleh Jejas Siasatan Polis - Pengarah JPJKK

23/05/2026 11:54 PM

TELUK INTAN, 23 Mei (Bernama) -- Polis mengingatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab sebelum memuat naik rakaman video berkaitan kejadian jenayah atau salah laku menerusi media sosial kerana tindakan itu boleh menjejaskan siasatan selain memberi implikasi dari sudut perundangan.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Noor Hisam Nordin berkata terdapat segelintir pihak yang terlalu ghairah mengejar perhatian di media sosial tanpa memahami kesan terhadap siasatan pihak berkuasa.

“Ada rakaman yang boleh dijadikan bahan membantu siasatan, namun ada juga yang akhirnya menjejaskan siasatan terutama apabila ia dimuat naik tanpa memahami implikasi undang-undang serta kesan terhadap pihak terlibat.

“Kita (polis) juga bimbang video yang dimuat naik itu boleh mengancam keselamatan individu terbabit sekiranya identiti mereka dikenal pasti pihak tertentu, terutama jika melibatkan kegiatan jenayah atau penjenayah berbahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Diskusi Town Hall Karnival Pencegahan Jenayah Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 di Dataran Menara Condong di sini hari ini.

Justeru, Noor Hisam menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan terus maklumat atau rakaman berkaitan salah laku kepada polis bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.

Menyentuh mengenai program hari ini, beliau berkata ia dilaksanakan bertujuan mendekatkan polis dan masyarakat, selain menjadi medium perkongsian maklumat berkaitan isu keselamatan serta pencegahan jenayah.

Menurut Noor Hisam, sokongan masyarakat amat penting dalam membantu memelihara moral dan semangat polis, selain menyedari kekangan serta cabaran yang dihadapi anggota keselamatan ketika menjalankan tugas.

“Polis tidak mampu berada di semua tempat pada setiap masa, justeru masyarakat perlu tampil memainkan peranan membantu pihak polis terutama dalam aspek pencegahan dan penyelesaian kes jenayah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan