AM

Suspek Bunuh Wanita Warga Emas Dipercayai Di Bawah Pengaruh Alkohol - Polis

05/05/2026 10:25 PM

SERI ISKANDAR, 5 Mei (Bernama) -- Suspek kes bunuh wanita warga emas ditemukan dengan beberapa kesan tetakan di sebuah rumah di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman, Ipoh, semalam, dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata beberapa tin bir turut ditemukan semasa suspek lelaki berusia 52 tahun itu ditahan di lokasi kejadian.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan saya dimaklumkan walaupun suspek dan mangsa berjiran, mereka dipercayai tidak mengenali antara satu sama lain kerana tinggal di lorong berbeza.

“Suspek juga difahamkan pernah mendapatkan rawatan psikiatrik di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjong Rambutan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran ‘Module On The Current Trends of Commercial Crimes’ di Dewan Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), di sini hari ini.

Sementara itu, Noor Hisam turut menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu pihak polis menyelesaikan kes berkenaan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah dilaporkan berkata  mangsa berusia 70 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dengan kejadian dipercayai berlaku antara pukul 4.45 petang hingga 10 malam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan