KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, yang menolak permohonan pendakwaan untuk mendapatkan perintah larangan terhadap wang pelaburan RM548 juta.
Wang pelaburan itu didakwa dimiliki isteri bekas Menteri Kewangan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, anaknya dan tujuh pihak lain dalam beberapa akaun bank Singapura.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan notis rayuan itu akan difailkan dalam masa terdekat.
"Susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, SPRM akan memfailkan notis rayuan dalam masa terdekat dan perkara ini telah dibawa kepada perhatian Jabatan Peguam Negara," menurut kenyataan itu.
Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Arief Emran Arifin membuat keputusan menolak permohonan pendakwaan selepas mendapati pihak pendakwaan selaku pemohon gagal memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Pada 19 Jun 2025, SPRM selaku pendakwa raya memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) untuk menghalang Na'imah, anaknya Muhammed Amir Zainuddin, dua individu, lima syarikat atau mana-mana pihak berkaitan dengannya daripada menguruskan harta yang berada di luar Malaysia, iaitu wang pelaburan GBP21 juta (kira-kira RM121 juta) dan USD99 juta (kira-kira RM423 juta) di Singapura.
Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 AMLATFPUAA 2001 susulan siasatan mengikut Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan dan Seksyen 4(1).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial