SUKAN

Dua Beregu Lelaki Malaysia Mara Ke Separuh Akhir, Jamin Tempat Ke Final

22/05/2026 08:11 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Malaysia sah mempunyai wakil pada final acara beregu lelaki pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 selepas pasangan negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mengatur pertembungan separuh akhir sesama sendiri esok.

Beraksi di Unifi Arena di sini hari ini, Aaron-Wooi Yik mudah menewaskan pasangan China Hu Ke Yuan-Lin Xian Yi 21-14, 21-15 dalam tempoh hanya 35 minit, sekali gus mengesahkan tempat dalam kelompok empat terbaik.

Aaron ketika mengulas pertemuan esok mengakui ia bakal menjadi perlawanan sukar namun gembira Malaysia sekurang-kurangnya mempunyai satu pasangan di pentas final.

“Saya fikir ia sememangnya akan menjadi perlawanan yang sukar esok. Namun, perkara paling penting ialah Malaysia akan mempunyai satu pasangan beregu lelaki di perlawanan akhir,” katanya selepas perlawanan.

Atas kertas, Aaron-Wooi Yik dilihat memiliki kelebihan menjelang aksi separuh akhir selepas memenangi enam daripada lapan perlawanan terdahulu menentang Sze Fei-Izzuddin.

Sementara itu, Sze Fei-Nur Izzuddin dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan pilihan kelapan dari Jepun Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi 21-17, 16-21, 21-16 dalam pertarungan suku akhir yang mendebarkan selama 53 minit.

Sze Fei mengakui sokongan penyokong tuan rumah memainkan peranan penting dalam kemenangan itu dan berkata sorakan padu peminat membantu memberi tekanan kepada pasangan Jepun sepanjang perlawanan.

Nur Izzuddin mengakui ia adalah pertemuan yang sukar namun berpuas hati apabila mereka berjaya mencari jalan untuk menewaskan pasangan Kumagai-Nishi yang beraksi dengan penuh ketahanan.

Menjelang aksi separuh akhir esok, Nur Izzuddin berkata mereka akan memberi tumpuan kepada corak permainan sendiri dan bersedia menentang sesiapa sahaja yang menjadi lawan seterusnya.

Malaysia Masters 2026, kejohanan bertaraf Super 500 yang berlangsung sehingga 24 Mei ini menawarkan hadiah keseluruhan USD500,000 (RM1.98 juta).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan