PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) bersetuju memberi keutamaan kepada badan pemikir dan perunding tempatan untuk berperanan sebagai penasihat kepada kerajaan di samping mempercepat inisiatif pendigitalan dalam perkhidmatan rakyat.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pagi tadi.
Shamsul Azri menerusi hantaran di Facebooknya berkata mesyuarat yang bersidang buat kali kelima bagi tahun ini memberi fokus utama kepada dua perkara iaitu pelaksanaan projek kecil yang dekat dengan rakyat termasuk penyelenggaraan sekolah, tandas awam dan fasiliti masyarakat serta isu kos sara hidup dan peluang pekerjaan.
"Berdepan ketidaktentuan ekonomi global, pasukan STAR mencari solusi memperhebat pengoperasian tindakan berdasarkan strategi yang telah ditentukan kerajaan," katanya.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Shamsul Azri berkata selesai mesyuarat bersama STAR, beliau turut mengadakan perjumpaan bersama pihak industri dan dewan perniagaan melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH).
Beliau berkata fokus mesyuarat itu memberi fokus kepada usaha penyelarasan mekanisme tribunal bagi penyelesaian pertikaian teknikal dalam industri pembinaan serta mengurangkan beban peraturan bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing industri.
"Dalam usaha melonjakkan ekonomi negara, saya percaya kerajaan dan industri adalah ibarat aur dan tebing, saling membina dan saling menguatkan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial