JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Bunuh Lelaki Myanmar: Tiga Rakan Senegara Ditahan Di Kepong

22/05/2026 03:20 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Tiga warga Myanmar termasuk seorang wanita direman tujuh hari hingga Isnin depan bagi membantu siasatan kes bunuh melibatkan seorang lelaki senegara di Kepong.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Superintendan Jasni Zolpa berkata kesemua suspek berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun itu ditahan pada Isnin lepas.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham yang mencetuskan pergaduhan antara mangsa dengan kesemua suspek yang berada dalam keadaan mabuk sehingga mengakibatkan kematian mangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini hari ini. 

Beliau berkata mayat mangsa yang berusia 39 tahun itu ditemukan di bawah jambatan MRT Metro Prima, Jalan Metro Perdana Barat 1, Kepong, oleh orang awam pada kira-kira 1.40 tengah hari, Ahad lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Jasni berkata polis menahan empat individu melibatkan seorang lelaki dan tiga wanita bagi membantu siasatan kes pergaduhan di Sentul dipercayai berpunca daripada masalah peribadi dan hutang.

“Kesemua suspek direman selama dua hari dan tempoh reman tamat hari ini. Polis turut mengenal pasti tiga lagi suspek dan usaha mengesan serta menahan mereka sedang dijalankan,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan