AM

Malaysia Tunggu Siasatan Dakwaan Rakyat Ditahan Di Makkah

20/05/2026 09:27 PM

Daripada Amirul Mohd Sajadi

JEDDAH, 20 Mei (Bernama) -- Malaysia masih menunggu hasil siasatan pihak berkuasa Arab Saudi berhubung dakwaan lima rakyat negara ini telah ditahan kerana cuba memasuki Makkah tanpa permit haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.

“Kita masih menunggu siasatan,” katanya ringkas kepada pemberita selepas Simposium Haji Perdana 2026 di sini hari ini.

Terdahulu, sebuah portal berita Arab Saudi melaporkan lima rakyat Malaysia ditahan oleh pasukan keselamatan negara itu selepas didapati cuba memasuki Makkah tanpa permit haji melalui kawasan berbukit dan lembah.

Menurut laporan itu, Direktorat Jeneral Mujahideen Arab Saudi memaklumkan kesemua individu ditahan kerana melanggar peraturan musim haji 1447H sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.

Pihak berkuasa Arab Saudi turut mengingatkan semua jemaah dan penduduk supaya mematuhi peraturan serta prosedur yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan operasi haji musim ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan