DUNIA

Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari Dipacu Belian Saham Wajaran Tinggi Terpilih

22/05/2026 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal dalam wilayah positif pada sesi tengah hari disokong oleh belian berterusan dalam saham berwajaran tinggi terpilih, didahului sektor produk dan perkhidmatan perindustrian serta produk dan perkhidmatan pengguna.

Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.36 mata atau 0.26 peratus kepada 1,712.72, daripada 1,708.36 ketika ditutup semalam.

Indeks utama yang dibuka 3.35 mata lebih tinggi pada 1,711.71 bergerak dalam julat 1,710.30 hingga 1,715.71 sepanjang sesi dagangan pagi.

Sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 538 berbanding 456, manakala 512 kaunter tidak berubah, 1,212 tidak diniagakan dan 63 digantung.

Jumlah dagangan mencatat 1.81 bilion unit bernilai RM1.53 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata dalam nota penyelidikan hari ini bahawa walaupun bursa tempatan menjejaki prestasi positif Wall Street semalaman, ia menjangka FBM KLCI akan pulih hari ini selepas mencatat penurunan berterusan lebih seminggu.

“Kami kekal positif terhadap sektor teknologi, dengan memberi tumpuan kepada MI Technovation Bhd, UWC Bhd, Frontken Corporation Bhd dan THMY Holdings Bhd, susulan sentimen yang dijangka terus disokong oleh keputusan kewangan kukuh Nvidia serta pengumuman kerjasama ARM,” katanya.

Firma itu turut memaklumkan pergerakan FBM KLCI berada dalam fasa lemah apabila petunjuk teknikal menunjukkan momentum pasaran yang belum stabil.

“Paras rintangan dikesan pada 1,723 hingga 1,728, manakala sokongan pada 1,688 hingga 1,693,” katanya.

Antara saham berwajaran tinggi, Petronas Chemicals naik 24 sen kepada RM5.69, Press Metal Aluminium menambah 11 sen kepada RM8.99 dan 99 Speed Mart Retail meningkat sembilan sen kepada RM3.45, manakala Petronas Dagangan susut 62 sen kepada RM18.18 dan Hong Leong Bank berkurang 20 sen kepada RM22.00.

Bagi kaunter paling aktif, SkyeChip melonjak 37 sen kepada RM2.70, Zetrix AI naik setengah sen kepada 82.5 sen, Tanco menambah dua sen kepada RM1.72, Gold Li susut setengah sen kepada 11.5 sen, manakala GIIB tidak berubah pada 39.5 sen.

Antara kaunter untung utama, Malaysian Pacific Industries meningkat RM2.40 kepada RM48.60, Hong Leong Industries naik 62 sen kepada RM18.52, Vitrox Corporation melonjak 44 sen kepada RM6.92, LPI Capital bertambah 34 sen kepada RM15.34 dan BM Greentech naik 33 sen kepada RM1.44.

Antara kaunter rugi utama, Petron Malaysia Refining & Marketing susut 26 sen kepada RM4.10, TA Ann turun 25 sen kepada RM5.36, Sunway Construction jatuh 18 sen kepada RM7.46, Arka berkurang 11 sen kepada 44 sen, manakala KPJ Healthcare susut 10 sen kepada RM3.21.

Pada papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 45.69 mata kepada 12,715.57, Indeks FBM Top 100 menambah 45.89 mata kepada 12,557.37, Indeks FBM ACE naik 19.84 mata kepada 4,698.08, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 76.84 mata kepada 12,645.42 dan Indeks FBM Mid 70 melonjak 126.55 mata kepada 18,357.37.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga menambah 14.38 mata kepada 791.29, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 2.14 mata kepada 199.83, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 5.28 mata kepada 20,017.69, manakala Indeks Perladangan turun 4.53 mata kepada 8,552.87.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan