EKONOMI

Komunikasi Berkesan Main Peranan Penting Bina Kepercayaan Rakyat - TNB

24/05/2026 05:27 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyifatkan komunikasi berkesan sebagai elemen penting dalam membina kepercayaan rakyat terhadap syarikat utiliti nasional itu, khususnya ketika berdepan gangguan atau insiden perkhidmatan.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan TNB Samsul Ariffin Zainuddin berkata apabila sesuatu insiden berlaku, rakyat Malaysia perlu mengetahui apa yang berlaku, tindakan yang sedang diambil dan bila keadaan akan kembali pulih seperti biasa.

“Bagi organisasi sebesar TNB yang memikul mandat awam, perkara ini bukan sekadar prinsip komunikasi secara berasingan, sebaliknya prinsip operasi dalam bagaimana syarikat memenuhi tanggungjawab kepada negara,” katanya pada persidangan dua hari “Connect & Influence 2026” baru-baru ini.

Pada persidangan itu beliau berkongsi pendirian TNB mengenai antara persoalan paling mendesak yang dihadapi pengamal komunikasi masa kini serta bagaimana institusi membina kepercayaan berkekalan.

Beliau berkata bagi TNB, ukuran komunikasi berkesan bukan sekadar terletak pada capaian atau sentimen semata-mata, tetapi sama ada rakyat Malaysia merasakan mereka diberi perhatian, dimaklumkan dan dilayani oleh institusi yang bertanggungjawab membekalkan tenaga kepada kehidupan mereka.

TNB dilaporkan menyediakan perkhidmatan kepada lebih 11 juta pelanggan, sekali gus menjadikan komunikasi berkesan amat penting dalam memenuhi tanggungjawab awam syarikat itu.

Persidangan itu turut menekankan bahawa dalam dunia yang dipacu perubahan pantas, peningkatan jangkaan pihak berkepentingan dan gangguan digital, peranan komunikasi korporat kini menjadi semakin kritikal.

Dalam pembentangan beliau yang bertajuk “Beyond the Campaign: When Experience Becomes Your Most Powerful Asset”, Samsul Ariffin juga menyentuh mengenai prinsip kepantasan, konsistensi dan keaslian sebagai asas komunikasi institusi yang berwibawa.

Beliau berkata pendekatan TNB itu mencerminkan pelaksanaan prinsip berkenaan secara nyata.

“Ia menjadi contoh mengenai apa yang mampu dicapai apabila sebuah institusi nasional benar-benar melabur dalam komuniti yang dilayaninya, sekali gus mewujudkan pengalaman yang membawa makna kepada masyarakat jauh melangkaui program itu sendiri,” katanya.

Samsul Ariffin berkata pendekatan komunikasi insiden TNB sebagai syarikat utiliti nasional menuntut komunikasi yang jelas dan tepat pada masanya ketika gangguan berlaku kerana ia merupakan tanggungjawab kepada orang awam.

Beliau menegaskan orang ramai perlu diberikan maklumat lengkap dan diyakinkan dengan segera.

Katanya rangka kerja tindak balas TNB adalah untuk memastikan komunikasi kepada orang awam dan pemulihan operasi dilaksanakan secara serentak sebaik sahaja sesuatu insiden disahkan.

Berikutan itu, beliau berkata rakyat Malaysia dilihat bergantung kepada TNB bukan sahaja untuk bekalan elektrik, tetapi juga keyakinan bahawa apabila berlaku masalah, mereka tidak akan dibiarkan tanpa penjelasan.

Pada hakikatnya, Samsul berkata komitmen TNB kepada negara melangkaui penyediaan tenaga semata-mata.

“Ia diterjemahkan melalui setiap program yang dibangunkan, setiap komuniti yang disantuni dan setiap usaha kami untuk sentiasa hadir secara konsisten serta bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan